PERUBAHAN dalam siasah adalah perkara biasa. Cita rasa rakyat yang memilih pelbagai. Ini menyebabkan landskap politik berubah. Apa pun perubahan yang berlaku perlukan asas yang fundamental supaya perubahan berhala tuju.
Perubahan hanya semata-mata kerana perubahan selalunya tidak kekal lama. Perubahan sedemikian amat sementara dan rapuh sifatnya. Perubahan yang terarah dipandu beberapa pedoman etika dan moral boleh kekal lama. Ianya suatu taklif atau amanah. Terhubung dengan Allah dan manusia.
Kesamaan dari segi ideologi dan kefahaman, cita-cita dan strategi bina negara harus berasaskan keinsafan bahawa masyarakat teras di Malaysia ialah orang Melayu, Islam sebagai agama negara, kebebasan mengamalkan kepercayaan masing-masing diberi dan hak masyarakat bukan Melayu dijamin. Walaupun terdapat perbezaan, musyawarah harus berlaku dan toleransi harus terjadi.
Ia juga terkait dengan keadilan. Adil kata ilmuan meletakkan sesuatu pada tempatnya bukan memihak sesuatu kelompok dan ideologi semata-mata. Pertimbangan keadilan dilakukan secara jujur dan ikhlas jauh sekali berpedoman rasa benci dan dendam kesumat. Maka barulah barakah terhasil.
Sesuatu keputusan yang dibuat atas pertimbangan emosi semata-mata bukan jalur yang dianjurkan oleh Islam. Al-Quran menganjurkan sikap tabayyun supaya penelitian maklumat terjadi dan pemeriksaan perkhabaran berlaku agar kebenaran terserlah.
Teknologi seperti media sosial selamanya alat dan bukannya matlamat. Matlamat penyebaran maklumat dan perkhabaran dalam Islam sifatnya makruf. Perangai manusia yang nafsu-nafsi memang menunggu perkhabaran yang mungkar dan ditularkan kepada pihak lain dan seronok dengannya dan boleh memberi kesan pengaruh yang negatif.
Hadis Rasululullah SAW mempedoman, “Kebatilan yang terancang dengan baik boleh dikalahkan oleh kemakrufan atau kebenaran yang tidak terancang dengan baik”. Kebenaran dalam al-Quran memberi manusia petunjuk. Tetapi kemungkaran yang terhasil dalam genre atau bentuk yang pelbagai sama ada filem, buku, drama, bahan lucah, imej keganasan dan penyebaran maklumat palsu boleh mempengaruhi.
Melainkan al-Quran difahami secara teksual (isinya) dan diterjemahkan secara kontekstual meraikan keperluan dalam sistem. Keperluan dalam sistem akan menjadi pincang sekiranya ketidakadilan terjadi dan kepalsuan menyubur. Jika kebenaran dijadikan amalan, sistem menjadi lebih tertib dan terarah.
Gelagat akhir zaman menyebabkan simpang siur terjadi, kepalsuan dijadikan kebenaran dan kemakrufan di tolak jauh-jauh. Ia menyebabkan konflik terus terjadi dan perpecahan dalam kalangan warga umat semakin parah. Melainkan umat yang beriman dan bertakwa melakukan tugas dakwah dan tarbiyyah sebijaksana mungkin supaya akibah ini dapat dikurangi.
Di zaman di mana aspek kebendaan dan nafsu-nafsi menjadi matlamat hidup, fahaman konsumerisme semakin menebal, semakin tipisnya rasa syukur terhadap rezeki Allah, kufur nikmat mengambil tempat. Sistem pasaran bebas yang orientasinya kapitalis, isu kos sara hidup agak sukar dielakkan. Pengedar, pemborong dan peniaga pentingkan untung. Hal-hal keadilan bukan menjadi pertimbangan mereka.
Ia menjadi bertambah buruk kerana gaya hidup masyarakat ini tidak seimbang dengan kemampuan membeli di tengah-tengah kartel yang bermaharajalela menaikkan harga barangan semahu-mahunya. Sebab itu, dalam tradisi Islam, muamalah atau tijarah berjalan atas asas syarak. Asas syarak mengambil kira faktor harga, timbangan dan kualiti. Eksploitasi ditegah kerana keuntungan yang diterima dikaitkan dengan barakah.
Hal yang sama dalam penjualan harta tanah seperti perumahan terdapat jurang kuasa beli antara yang berada dengan yang tidak berada. Dalam jangka panjangnya ia boleh memberikan kesan demografik (kependudukan) yang memberi kesan kepada taburan yang tidak seimbang dan meminggirkan umat Islam.
Lebih-lebih lagi dengan kumunculan bandar-badar baharu, mereka yang mempunyai kuasa beli dan rangkaian perniagaan bakal melakukan monopoli dan meminggirkan pihak yang kurang kuasa beli dan menyebabkan jurang ekuiti semakin mendalam.
Oleh itu, perubahan yang lebih adil harus berlaku. Mereka yang mempunyai ekuiti tinggi harus memikirkan mereka yang mempunyai ekuiti rendah kerana soal keseimbangan ekuiti berkait rapat dengan soal kemajuan dan perpaduan.
Asas-asas fundamental ini hanya akan terjadi sekiranya etika dan akhlak warga Malaysia tidak bersifat haiwani ibarat ‘enau dalam belukar’ ‘melepaskan pucuk masing-masing’, kecenderungan melakukan monopoli dan eksploitasi dan tidak mempunyai rasa kepedulian terhadap orang lain.
Asas-asas yang fundamental seperti amanah, adil, tulus dan telus membolehkan kualiti manusiawi terserlah. Jika ini tidak dijadikan pedoman membangun landskap baharu dalam politik, sosio-ekonomi Malaysia kebimbangan tetap ada bahawa fahaman kebendaan menjadi keutamaan, kuasa beli menjadi kepentingan yang mendalamkan jurang yang berada dan tidak berada dan memungkinkan konflik terjadi.
Landskap baharu harus menjadikan tradisi ilmu sebagai suluh dan pedoman perubahan, pendidikan holistik yang mementingkan etika dan akhlak contoh dijadikan fokus, sains dan teknologi yang memberi manfaat berbanding yang tinggi dan pemahaman yang mendalam pentingnya kemajmukan di Malaysia sebagai suatu rahmat.
Fundamental ini penting supaya Malaysia yang kita bina berada di tangan kepimpinan yang amanah dan adil dan kualiti kepengikutan sentiasa insaf akan tanggungjawab terhadap sebuah negara yang aman, sejahtera dan bersatu.











