HAWAII 21 Mei – Penduduk Hawaii yang menderita akibat letusan gunung berapi Kilauea kini berdepan dengan ancaman baharu apabila pihak berkuasa memberi amaran bahawa aliran lava yang melimpah memasuki Lautan Pasifik boleh menghasilkan awan asid beracun, stim dan mengandungi partikel kecil seperti kaca.
Pasukan pertahanan awam negara itu memberi amaran kepada para pemandu, pengendali bot dan pengunjung di pantai supaya berhati-hati dengan awan berbentuk bulu burung panjang hasil daripada dua aliran lava panas yang melimpah ke laut selepas melepasi Highway 137 di selatan kawasan pesisir Pulau Big Hawaii pada Sabtu dan Ahad lalu.
Notis itu juga mengeluarkan laporan gas sulfur dioksida beracun yang terlepas ke udara sekitar kawasan gunung berapi telah meningkat tiga kali ganda seterusnya mendesak penduduk untuk mengambil tindakan yang diperlukan untuk mengelakkan berlaku kejadian lebih buruk berlaku.
‘Laze’ adalah istilah yang menggabungkan ‘lava dan jerebu’ iaitu campuran asap hidroklorik, stim dan partikel kecil seperti kaca terjadi apabila letusan lava yang boleh mencapai 2,000 darjah Fahrenheit (1,093 darjah Celsius) bertindak balas dengan air laut,
“Berhati-hati dengan bahaya ‘laze’ dan jauhkan diri dari sebarang habuk,” kata agensi itu sambil memberi amaran potensi bahayanya termasuk kerosakan paru-paru dan kerengsaan mata dan kulit.
Semalam, Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, angin yang bertiup kencang dengan lava melimpah ruah memasuki laut, awan ‘laze’ boleh terbentuk sehingga 24 kilometer terutamanya di sepanjang pantai dan luar pesisir.
Meskipun awan itu tidak lagi berbahaya apabila bergerak jauh ke arah laut tetapi pihak berkuasa memberi amaran bahawa corak angin boleh berubah secara tiba-tiba.
Pusat itu juga berkata, hujan asid terhasil daripada ‘laze’ juga bersifat menghakis menyamai seperti asid bateri.
Indeks kualiti udara di Kona, kira-kira 64 kilometer di barat laut tempat berlakunya letusan itu diletakkan pada tahap warna oren iaitu berbahaya kepada warga tua dan mereka yang mempunyai masalah penafasan, kata USGS.











