KUALA LUMPUR – Rakuten Trade Sdn. Bhd. (Rakuten Trade) mencatatkan trend dagangan paling aktif berdasarkan data pelanggannya selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), sejak ia mula beroperasi di negara ini pada Mei tahun lepas.
Rakuten Trade merupakan broker saham digital sepenuhnya yang pertama di Malaysia.
Ia merupakan hasil usaha sama antara Kenanga Investment Bank Bhd. dan Rakuten Securities Inc. (Rakuten Securities) dari Jepun.
Pengarah Urusannya, Kaoru Arai berkata, ia dapat dilihat dari segi bilangan pemegang akaun, komisen dan jumlah dagangan yang dicatatkan pelanggannya di Bursa Malaysia, yang disifatkan amat positif selepas PRU-14.
“Kami merekodkan peningkatan kadar pembrokeran sebanyak 25 peratus, pengukuhan nilai dagangan sebanyak 15 peratus dan penambahan pembukaan akaun sebanyak 40 peratus, yang merupakan satu reaksi agresif daripada pelanggan Rakuten Trade.
“Ini menunjukkan bahawa pelabur kami kekal optimis terhadap pasaran meskipun terdapat kebimbangan daripada banyak pihak terhadap ketidaktentuan Bursa Malaysia susulan pasca PRU,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media mengenai Rakuten Trade bersempena ulang tahunnya pertama operasinya di sini semalam.
Turut hadir Presiden Rakuten Securities, Yuji Kusunoki.
Sementara itu, Arai berkata, sehingga 4 Mei lalu, Rakuten Trade mempunyai lebih 12,000 pelanggan atau pemegang akaun dengan kira-kira 40 peratus daripadanya merupakan pelabur saham kali pertama di pasaran Malaysia.
“Hampir 80 peratus daripada pelanggan kami berusia di bawah 40 tahun dan kebanyakan mereka merupakan pedagang aktif.
“Ini menunjukkan bahawa pelabur yang lebih celik digital di Malaysia kini bersedia untuk mencuba pengalaman perdagangan baharu,” ujarnya.
Dalam pada itu, bersempena sambutan ulang tahun pertamanya, pada hari 25 Mei ini, kesemua pelanggan Rakuten Trade akan dapat menikmati kadar broker sifar bagi semua dagangan yang berjaya disempurnakan.











