PATTANI, Thailand – Hari keempat bulan Ramadan dicemari dengan beberapa insiden keganasan apabila kira-kira 20 butir bom yang kebanyakannya menyasarkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM), meletup di beberapa wilayah di selatan Thailand.
Kejadian letupan bom itu berlaku mulai pukul 7 malam semalam (waktu tempatan) di wilayah bergolak Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla.
“Pihak berkuasa mendapat laporan empat butir bom meletup di daerah Muang, Pattani, manakala masing-masing sebutir bom meletup di Saiburi, Nongchik dan Yarang. Semua menyasarkan mesin ATM,” kata Ketua Polis Pattani, Mejar Jeneral Piyawat Chalermsi semalam.
Beliau berkata dua individu dilaporkan cedera dalam kejadian letupan di daerah Muang.
Di Narathiwat, pihak berkuasa melaporkan lima butir bom meletup di daerah Benang Setar, Kabang dan Yaha, namun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Penyerang tidak dikenali juga menembak sebutir peluru grenad M79 terhadap markas Pasukan Petugas Narathiwat di Thanto kira-kira pukul 8 malam (waktu tempatan) semalam, tetapi tidak menyebabkan kecederaan.
Sumber keselamatan juga mengatakan serangan bom juga dilaporkan berlaku di daerah Ranget dan Cho Airong, manakala sebutir bom meletup di sebuah mesin ATM di daerah Thepa, wilayah Songkla semalam. – Bernama











