GST sifar tingkat operasi KAB - Utusan Malaysia

GST sifar tingkat operasi KAB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kejuruteraan Asastera Bhd. (KAB) optimis terhadap prospek sektor kejuruteraan elektrik dan mekanikal meskipun berlaku perubahan dalam kerajaan berikutan Pilihan Raya Umum ke-14.

Pengarah Urusannya, Datuk Lai Keng Onn berkata, walaupun terlalu awal untuk membuat jangkaan, pasaran pada umum­nya memberi tindak balas yang baik kepada kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai kajian semula projek yang berkaitan kerajaan.

“Sudah tentu ini merupakan berita baik kerana Dr. Mahathir juga menyebut mengenai usaha untuk mendapatkan lebih banyak penyertaan perniagaan tempatan dalam projek domestik,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung luar biasa syarikat tersebut di sini semalam.

Keng Onn menjelaskan, penarafan sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan yang berkuat kuasa 1 Jun ini secara tidak langsung akan membantu KAB memperbaiki aliran tunai dalam jangka masa terdekat dengan kesan keseluruhan neutral bagi syarikat.

“Sepanjang tempoh peralihan sehingga cukai baharu (cukai jualan dan perkhidmatan) diperkenalkan, ini sepatutnya baik bagi industri kerana memberikan lebih banyak kuasa belanja kepada pengguna dan kemungkinan meningkatkan perniagaan kami,” tambahnya.

Mengenai rancangan pengembangan syarikat, Keng Onn menerangkan, KAB bercadang untuk mengembangkan perniagaan sistem pendingin hawa dan pengalihan udara.

Menurut beliau, segmen tersebut bakal menyumbang kepada pendapatan dalam masa dua hingga lima tahun akan datang.

“Buku tempahan syarikat kini berjumlah RM223 juta dan me­laluinya ia akan membolehkan syarikat sibuk sehingga tahun 2020,” ujarnya.

Tambah beliau, projek tersebut kebanyakannya terdapat di kawasan Lembah Klang dan 90 peratus melibatkan perniagaan elektrik.

“Kami juga memperoleh projek baharu bernilai RM50 juta (KAB sedang menunggu surat anugerah) dan meramalkan lebih banyak lagi akan diperoleh.

“Buku tender semasa kami adalah kira-kira RM337 juta dan kami menjangka kadar kejayaan 20 hingga 30 peratus dalam mendapatkan projek,” terangnya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, KAB merekodkan hasil sebanyak RM114.55 juta dan keuntungan bersih RM6.78 juta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN