SELURUH rakyat Malaysia terutamanya umat Islam wajar bersyukur kerana sekali lagi dapat menyambut bulan Ramadan yang mulia dalam suasana tenang, aman dan selamat walaupun baru saja selesai mengharungi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang paling sengit dan mendebarkan dalam sejarah negara ini.
Bulan Ramadan di samping menyediakan pelbagai rahmat dan ganjaran kepada seluruh umat Islam, juga wajar dijadikan peluang terbaik untuk kita merapatkan serta memperkukuhkan hubungan silaturahim sesama kita atas semangat persaudaraan dalam Islam. Semangat perpaduan yang dimaksudkan di sini ialah sesama umat Islam dan juga antara umat Islam dengan penganut agama lain di negara ini.
Sebagai umat Islam kita wajar mengambil peluang ini untuk memperkukuhkan semula tali silaturahim sesama kita kerana situasi sekarang tidak begitu memberangsangkan dan meyakinkan. Misalnya, walaupun dari segi bilangannya majoriti rakyat negara ini terdiri daripada penganut agama Islam namun hakikatnya kita terpisah menjadi kelompok-kelompok kecil mengikut ideologi politik, kefahaman dan pegangan masing-masing.
Justeru kedatangan bulan Ramadan ini wajar dijadikan platform terbaik untuk kembali memperkukuh hubungan persaudaraan sesama kita. Tidak boleh ada kompromi dalam soal ini kerana ini adalah perkara asas dan formula mujarab jika mahu terus maju ke hadapan. Perlu diingatkan hanya perpaduan dan kesepakatan sesama kita mampu memelihara martabat orang Islam di samping menjamin dan mengekalkan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Cukup-cukuplah segala persengketaan yang berlaku selama ini. Marilah kita merapatkan saf atas nama Islam disaksikan bulan Ramadan yang mulia ini sebelum semuanya terlambat. Apa guna bercakap tentang impian mencapai Wawasan 2020, atau mahu menjadi negara maju berpendapatan tinggi andai umat Islam negara ini terus bercakaran dan tidak boleh bersatu.
Pokok pangkalnya perbezaan ideologi politik yang selama ini menjadi duri dalam daging perlu ditangani dengan bijak. Tidak salah untuk berbeza fahaman politik tetapi janganlah sampai bergaduh sesama kita dan juga membiarkan agama Islam diperlekehkan sesuka hati.
Ahli politik perlu lebih profesional dan belajar untuk membezakan ideologi politik dengan perpaduan dalam kalangan rakyat secara keseluruhannya. Justeru eloklah di kesempatan bulan yang mulia ini kita berpesan, memberi nasihat malah merayu kepada ahli politik di negara ini agar tidak mencemari Ramadan tahun ini dengan amalan politik kotor dan kebencian.
Besarlah harapan agar ahli politik kita akan mengambil peluang ini untuk bermuhasabah diri, memperbetulkan tindak tanduk serta memperbaiki tingkah laku yang diamalkan selama ini yang seringkali diselubungi dengan pelbagai unsur cacian, tohmahan, penipuan, fitnah dan taktik kotor demi meraih secebis sokongan serta kuasa yang pastinya tidak akan kekal untuk selama-lamanya.
Tindak tanduk seperti ini walaupun hanya membabitkan segelintir ahli politik namun akhirnya tetap akan mencemarkan keseluruhan institusi politik di negara ini. Malah ia juga mula mengikis tahap kepercayaan rakyat kepada mereka.
Di samping merapatkan hubungan sesama umat Islam, inilah juga masanya untuk kita turut memperkukuhkan hubungan antara kaum dan agama di negara ini. Walaupun diakui negara ini bertunjangkan masyarakat majmuk namun kita juga perlu terima hakikat betapa pada hari ini tahap perhubungan antara kaum di negara ini agak membimbangkan malah ada yang menggambarkan ia berada pada tahap umpama senipis kulit bawang. Hasilnya, sedikit provokasi sudah cukup untuk mencetuskan perbalahan antara kaum.
Jadi sebelum nasi menjadi bubur eloklah kita ambil iktibar dan menginsafi segala kejadian persengketaan dalaman dan perang saudara yang berlaku di negara luar sebagai panduan untuk hidup bersatu padu.
Justeru sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa inilah masanya untuk semua pihak memperbetulkan segala kesilapan yang telah dibuat sebelum ini serta memperbaiki kelemahan yang ada demi kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara.
Untuk merealisasikan hasrat itu, terapkanlah budaya toleransi supaya kita boleh menerima kelemahan orang dan meraikan perbezaan yang ada tanpa curiga dan prasangka. Kita sudah hidup bersama seperti ini lebih 60 tahun hasil kerjasama, permuafakatan dan pengorbanan barisan pejuang kemerdekaan terdahulu melalui pemeterian kontrak sosial yang kemudiannya diangkat sebagai Perlembagaan Persekutuan di samping panduan hidup melalui Rukun Negara.
Jadi kenapa pada hari ini masih timbul pelbagai konflik antara kaum yang jelas boleh memberi kesan buruk yang dahsyat kepada kehidupan rakyat negara ini. Apakah kita masih belum mampu mengambil iktibar dari peristiwa hitam tragedi 13 Mei 1969? Sama-samalah kita memikirkannya.
PRU-14 juga sudah selesai, jadi marilah kita ambil peluang ini untuk menghulurkan salam perpaduan sesama kita dan juga dengan rakan-rakan dari kaum lain agar dapat sama-sama berganding bahu mempertahankan jambatan perpaduan yang telah dibina oleh generasi terdahulu demi membina masa hadapan yang lebih gemilang. Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak.
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).











