Peralihan kerajaan tanpa pertumpahan darah, tunjukkan ketinggian tamadun - Utusan Malaysia

Peralihan kerajaan tanpa pertumpahan darah, tunjukkan ketinggian tamadun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 17 Mei – Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) boleh menjadi kajian kes yang baik untuk bidang pengajian di dunia dan Islam kerana berlakunya penukaran kerajaan yang hanya mengambil masa satu malam, dan lebih penting tanpa tertumpahnya walau setitis darah.

MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN
MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, proses tersebut membuktikan ketamadunan rakyat negara ini yang telah mencapai satu tahap yang tinggi.

Beliau berkata, situasi itu juga menyanggah andaian dalam pengajian Islam yang mengharamkan penukaran sesuatu kerajaan atas alasan akan menumpahkan darah.

“Lebih malang, kalangan golongan literalis (pihak yang mengeluarkan penafsiran bersifat sempit) membicarakan tentang pengharaman penukaran kerajaan tanpa memahami puncanya.

“Rakyat Malaysia telah membuktikan bahawa sikap yang baik dan demokratik boleh menjadikan proses ini aman dan memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada PRU-14, Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PPBM, PKR, DAP dan PAN meraih majoriti mudah di Parlimen dengan 113 kerusi untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

Barisan Nasional (BN) pula memenangi 79 kerusi Parlimen manakala PAS pula dengan 18 kerusi diikuti Parti Warisan Sabah (8); Parti Solidariti Tanah Airku (1) dan Bebas (3).

Mohd. Asri seterusnya meminta supaya kitab-kitab fekah khususnya dalam masalah siyasah yang ditulis dalam kurun-kurun lalu, difahami konteksnya.

“Bukan semua pandangan sarjana yang lepas sesuai untuk diamalkan di masa kini,” katanya.

Tambah beliau, para sarjana fekah terdahulu mengharamkan penukaran kerajaan berdasarkan pengalaman mereka yang menyaksikan proses itu akan menyebabkan pertumpahan darah dan kekacauan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×