TAPAH – Polis menahan empat suspek dalam tempoh 20 minit selepas dipercayai terlibat dalam tiga kes samun bersenjatakan parang di tiga buah rumah berasingan di Bidor dan Air Kuning di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tapah, Asisten Komisioner Som Sak Din Keliaw berkata, keempat-empat suspek berusia 21,27 dan 39 tahun ditahan di Kampung Koh, Bidor di sini pada pukul 3.30 petang selepas melakukan jenayah tersebut.
Jelasnya, berdasarkan laporan kes pertama, mereka menyamun seorang lelaki berusia 32 tahun dengan bersenjatakan parang pada pukul 9.50 pagi di sebuah rumah di Bidor dekat sini.
“Dua daripada suspek telah mengugut mangsa dan menyelongkar rumah sebelum melarikan wang tunai RM19,000, lima utas jam tangan, dua bentuk cincin emas, pasport, dompet dan wang 100 dolar Singapura.
“Selepas itu, mereka melarikan diri dengan menggunakan sebuah kereta jenis Honda City menuju ke Taman Air Kuning sebelum menyamun seorang wanita warga emas berusia 66 tahun yang sedang menonton televisyen di rumahnya pada pukul 1.05 petang,” katanya pada sidang akhbar Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di sini hari ini.
Menurut Som Sak, keempat-empat suspek mengugut warga emas itu dan melarikan wang tunai sebanyak RM600 dan 100 dolar Singapura dan pasport milik mangsa.
Ujarnya, mereka kemudian menuju ke Klinik Desa Kampung Koh, Bidor pada pukul 3.10 petang sebelum bertindak mengugut seorang wanita berusia 36 tahun agar menyerahkan kereta jenis Perodua Kelisa miliknya.
“Berdasarkan siasatan, kereta jenis Honda City yang dinaiki mereka dilaporkan dicuri di Selayang, Selangor. Selepas melakukan ketiga-tiga jenayah itu, mereka bertindak membakar kereta tersebut sebelum melarikan diri dengan menggunakan kereta jenis Perodua Kelisa.
“Hasil maklumat orang awam, mereka bagaimanapun berjaya diberkas kira-kira 20 minit kemudian di Kampung Koh, Bidor selepas membakar kereta tersebut,” katanya.
Menurut Som Sak, tiga daripada suspek yang berasal dari Kuala Lumpur dan Selangor manakala seorang lagi suspek yang merupakan Orang Pengawasan Polis di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) di Air Kuning dekat sini yang dipercayai menjadi dalang untuk merancang ketiga-tiga kes samun itu.
“Ujian saringan air kencing terhadap keempat-empat suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.
“Bagaimanapun, polis masih mengesan dua lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut,” katanya.
Keempat-empat suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata. – K! ONLINE










