IPOH – Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu akan mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi memohon perkenan untuk menyampaikan cadangan senarai exco negeri daripada Pakatan Harapan yang bakal dilantik pagi esok.
Jelasnya, kerajaan negeri telah mempunyai senarai exco yang bakal dilantik dan akan mempersembahkan kepada Sultan Perak.
“Senarai telah ada dan saya akan persembahkan kepada Sultan Perak esok pagi.
“Setakat ini, bilangan minimum exco yang boleh dilantik seramai empat orang dan maksimum 10 orang. Jadi, saya akan mendapatkan perkenan Sultan Perak terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penghargaan dan Ucapan Terima Kasih Kepada Rakyat Perak di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh di sini hari ini
Turut berangkat ke majlis tersebut, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.
Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, pelantikan exco kerajaan negeri itu melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada keempat-empat parti Pakatan Harapan. – K! ONLINE
“Kita akan cuba mengaturkan seberapa banyak ADUN daripada keempat-empat parti mengikut komposisi namun, ia terpulang kepada perkenan Sultan Perak,” katanya. – K! ONLINE










