PUTRAJAYA 15 Mei – Tan Sri Dzulkifli Ahmad hari ini kembali bertugas di Jabatan Peguam Negara setelah menyerahkan surat penamatan kontrak sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.
Terdahulu, beliau yang mengenakan sut berwarna hitam dan bertali leher merah tiba di Ibu Pejabat Jabatan Peguam Negara pada pukul 8.05 pagi untuk melapor diri.
Video Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
Sebelum itu, beliau dilihat menunggu dalam kereta rasminya, Proton Perdana selama beberapa minit dan terus keluar menuju ke pintu masuk khas.
Dzulkifli hanya senyum dan sempat melambaikan tangan sebaik sahaja ditegur para wartawan yang menunggu di lobi.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa mengesahkan Dzulkifli telah mengemukakan surat penamatan perkhidmatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Pada masa sama, Dzulkifli menerusi kenyataan akhbar semalam juga mengesahkan beliau akan kembali bertugas di Jabatan Peguam Negara.
Beliau sebelum ini merupakan Pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara sebelum dilantik mengetuai SPRM.
Sehingga kini, tidak diketahui jawatan baharu Dzulkifli di Jabatan Peguam Negara.










