KUALA LUMPUR 15 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan sejak 2015 akhirnya akan dibebaskan esok.
Penasihat PKR itu dipenjarakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2015 menolak rayuan beliau terhadap sabitan bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya serta hukuman penjara lima tahun yang dikenakan Mahkamah Tinggi.
Anwar sepatutnya dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh pada 8 Jun depan, namun diawalkan selepas Pakatan Harapan berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), minggu lalu.
Bukan sahaja dibebaskan dari penjara, tetapi Anwar turut dijangka menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V melalui mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Ini sekali gus memberi peluang kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu kembali aktif dalam arena politik tempatan tanpa perlu menunggu suatu tempoh tertentu.
Pengampunan itu juga bermakna hasrat Anwar untuk menjadi Perdana Menteri semakin menjadi realiti.
Untuk menjadi Perdana Menteri, Anwar perlu melalui beberapa proses terlebih dahulu dengan yang utamanya dipilih sebagai ahli Parlimen.
Sehubungan itu, rakyat boleh menjangkakan pilihan raya kecil diadakan pada bila-bila masa untuk memberi laluan kepada Anwar merealisasikan impiannya itu.
Walau bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memimpin Pakatan Harapan menewaskan BN memberi gambaran beliau berkemungkinan kekal memegang jawatan itu bagi tempoh dua tahun akan datang.
Ini memberi signal bahawa Anwar perlu menunggu lebih lama untuk menjadi Perdana Menteri.
Dr. Mahathir menjelaskan, selepas memperoleh kerusi Parlimen, Anwar akan diberikan jawatan dalam Kabinet tetapi tiada kuasa khas kecuali yang diberikan sebagai timbalan perdana menteri, menteri atau timbalan menteri.
Apa pun, pembebasan Anwar dari penjara merupakan perkara yang ditunggu-tunggu khususnya dalam kalangan ahli keluarga serta penyokong tegar beliau.
Apa yang bakal berlaku selepas itu, terserah kepada Dr. Mahathir dan juga kepemimpinan Pakatan Harapan.










