Serbu makmal terbesar, rampas dadah sintetik RM2.41 bilion 

Serbu makmal terbesar, rampas dadah sintetik RM2.41 bilion 

HUSSEIN Omar Khan menunjukkan dadah sintetik dirampas dalam serbuan premis makmal dadah terbesar di kawasan perindustrian Eco Business Park, Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor, semalam.-UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Sindiket dadah berskala besar terbongkar selepas polis merampas 13.17 tan metrik dadah sintetik bernilai RM2.41 bilion dalam serbuan sebuah kilang yang dijadikan makmal dadah di Bandar Puncak Alam bulan lalu.

Rampasan membabitkan pelbagai jenis dadah terma­suk ekstasi, pil yaba, metamfetamin, ketamin, ganja dan pil Erimin 5, selain mesin serta peralatan memproses dadah. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rampasan itu antara yang terbesar pernah direkodkan pihak berkuasa dan sindiket dipercayai menyasarkan pasaran negara jiran serta Eropah.

“Polis mula mengesan sindiket ini hasil risikan selama enam bulan melalui alamat penghantaran bahan-bahan berkenaan sebelum membawa kepada penemuan premis di Bandar Puncak Alam yang dipercayai sudah beroperasi selama setahun.

“Susulan itu, Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menjalankan risikan terhadap premis terbabit selama tiga hingga enam bulan sebelum serbuan dibuat pada dua minggu lalu,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Beliau berkata, serbuan itu turut membawa kepada penahanan lima individu berusia antara 29 hingga 43 tahun terdiri daripada tiga lelaki tempatan serta dua warga asing dipercayai dari Taiwan.

Katanya, siasatan mendapati sindiket berkenaan bukan sahaja memproses dadah, malah terbabit dalam aktiviti pengedaran termasuk menggunakan keldai dadah untuk membawa keluar bahan terlarang berkenaan.

“Siasatan juga dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud penglibatan orang dalam agensi penguat kuasa yang membolehkan bahan-bahan tersebut dibawa masuk ke negara ini,” katanya.

Hussein berkata, kesemua suspek telah dituduh di mahkamah pada 21 dan 27 Ogos lalu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati sindiket terbabit menggunakan pengisytiharan palsu bagi kargo yang membawa masuk bahan asas untuk menghasilkan dadah sintetik.

Dalam pada itu, Hussein memaklumkan ketua sindiket yang mengendalikan makmal berkenaan ialah seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang ditembak mati dalam serbuan di sebuah rumah di Garden Homes, Seremban 2, Sabtu lalu.

“Kita percaya lelaki terbabit mengatur penyewaan premis, membawa masuk bahan asas dan peralatan dari luar negara serta merekrut ahli-ahli sindiket yang lain,” katanya.

Beliau berkata, sindiket berkenaan turut mempunyai kaitan dengan kes penculikan seorang lelaki yang diselamatkan polis pada Julai lalu seperti dimaklumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar.

Sebelum ini, mangsa kes penculikan yang membabitkan tuntutan tebusan RM7 juta itu ditahan JSJN untuk membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×