BENTONG 15 Mei – Kegembiraan empat sahabat dari ibu negara berkelah di Air Terjun Lata Hammer di sini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan mati lemas hari ini.
Mangsa, Mohd. Ammar Ariff Rosdidi, 25, ditemukan mati selepas dilaporkan terjatuh ke dalam air di kawasan perkelahan itu ketika cuba mengambil rakit untuk merakam gambar kenangan sebelum pulang ke Kuala Lumpur.
Pegawai Pertahanan Awam daerah, Leftenan Zulkhairi Adek Awang berkata, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggerakkan operasi dan menyelamat selepas menerima laporan pada pukul 9.55 pagi ini.
Katanya, untuk sampai ke tempat kejadian mengambil masa kira-kira satu jam berjalan kaki manakala oeprasi mencari dan menyelamat juga agak sukar kerana keadaan arus deras selepas hujan.
‘‘Mangsa ditemukan terperangkap di celah kayu pada kedalaman kira-kira tujuh meter pada pukul 3 petang,’’ katanya di sini hari ini.
Sementara itu, seorang rakan mangsa, Akmir Kamal Kamarul Akla, 25, berkata, sebelum kejadian, Mohd. Ammar Ariff memintanya merakam gambarnya di atas rakit.
‘‘Arwah berpesan kepada kami supaya jangan mandi dahulu kerana arus air masih deras. Namun dia pula cuba mengambil rakit dan belum pun sampai, dia sudah tenggelam,’’ katanya.










