CAKAPLAH apa pun, hakikat yang perlu diterima sekarang ialah landskap politik Malaysia telah berubah dan setanding dengan negara maju.
Kita tidak perlu melakukan keganasan atau pemberontakan untuk menumbangkan sesebuah kerajaan. Melalui suara di peti undi, ia sudah pun diterjemahkan melalui lahirnya kerajaan baharu negara ini pada tarikh bersejarah 10 Mei lalu.
Pastinya, tiada siapa menyangka tumbangnya sebuah kerajaan yang mendominasi politik dan pemikiran masyarakat sejak lebih 60 tahun lalu.
Pengundi bersatu hati melontarkan suara mereka secara senyap di setiap peti undi yang menyaksikan sekurang-kurangnya 122 kerusi Parlimen berjaya dirampas oleh parti Pakatan Harapan (PH) dari Barisan Nasional (BN), sekali gus membentuk kerajaan baharu untuk sesi 2018 hingga 2023 ini.
Penulis melihat tahap literasi politik dalam kalangan pengundi semakin meningkat. Ia berlaku secara pantas melalui saluran pelbagai terutamanya media.
Persepsi
Pengundi menerima pelbagai maklumat yang akan dicerna, sekali gus membantu membentuk pola persepsi terhadap parti-parti politik tertentu secara semula jadi.
Realitinya kini, suara dan sokongan politik bukan lagi dapat dikesan melalui banyaknya poster yang digantung di kebanyakan kawasan.
Ia wujud secara dalaman dan tidak semestinya dapat dikesan atau dikongsi dalam kalangan pengundi sehinggalah ia berjaya diterjemahkan melalui saluran peti undi. Dalam konteks akademik, ia berkait rapat dengan teori lingkungan senyap.
Malah, jika dilihat daripada analisis yang dijalankan oleh beberapa pusat kajian pendapat seperti Merdeka Centre, Ilham Centre dan lain-lain menunjukkan keputusan kajian masing-masing sedikit sebanyak mencerminkan keputusan sebenar yang diperoleh dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kali ini.
Namun, tidak siapa menjangka BN dan PH mampu bertukar kuasa pemerintahan secara mengejut akibat meningkatnya gelombang sokongan senyap yang sukar dikesan.
Penulis melihat punca utama berlakunya penolakan besar-besaran pengundi terhadap mantan parti pemerintah disebabkan timbulnya pelbagai isu berat yang gagal diuruskan secara tuntas.
Ia menimbulkan lebih banyak spekulasi, kemarahan serta persepsi negatif yang semakin membungkam dalam diri majoriti pengundi senyap atau atas pagar.
Isu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), cukai barangan dan perkhidmatan (GST), salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya memerlukan jawapan secara jelas.
Malangnya, ahli politik khususnya BN gagal memberi respon meyakinkan. Tidak dinafikan BN mengetengahkan calon yang terbaik, namun akibat penentangan senyap ini, kebanyakan mereka tumbang akibat hentaman tsunami rakyat di peti undi.
Penulis yakin kebanyakan ahli atau penyokong BN bawahan sedar akan isu yang berlaku namun, mereka tidak memberikan respon yang sepatutnya.
Atau mungkin perlu mengamalkan sindrom penafian terhadap setiap masalah yang berlaku dengan mengalihkan tumpuan kepada isu lain. Kaedah ini secara langsung menyebabkan mereka gagal mengesan sentimen rakyat, sekali gus menjauhkan undi rakyat untuk menyokong BN.
Sebagai pengundi di Selangor, penulis turut dimaklumkan wujudnya rancangan untuk menolak calon parti BN yang dilakukan oleh ahli-ahli parti politik mereka sendiri.
Bukan setakat di kawasan tempat penulis membuang undi, malah ia berleluasa di kebanyakan kawasan termasuklah beberapa buah negeri.
Agak mengejutkan apabila melihat calon BN Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zuhdi yang mendapat undi terbesar ketika PRK 2016 lalu, tumbang di tangan calon PH, Muslimin Yahaya dengan majoriti 714 undi.
Tidak kurang juga bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dari kawasan Felda di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan yang dilihat kubu kuat BN, tumbang ke tangan calon-calon baharu PH.
Tewas
Parti BN tewas selepas memerintah selama 61 tahun. Kerusi yang diperoleh pula jauh merosot kepada hanya 79 berbanding 133 pada PRU-13.
BN yang ditunjangi UMNO hilang 34 kerusi apabila hanya menang 54 kerusi berbanding 88 kerusi pada PRU-13. Kecuali Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang masing-masing mengekalkan satu kerusi manakala parti komponen lain mengalami kemerosotan.
Penulis melihat beberapa jam selepas PH berjaya menguasai Putrajaya, media antarabangsa seperti CNN, BBC, Al-Jazeera terus menerus memberi liputan meluas dalam laman berita masing-masing. Rakyat Malaysia khususnya generasi baharu digambarkan sebagai berani membuat keputusan mengubah pemerintah sejak 61 tahun lalu.
Hakikatnya, kerajaan baharu telah dibentuk. Sejujurnya, penulis berasa sangat teruja dengan keputusan PRU-14 kali ini.
Rakyat Malaysia pastinya ternanti-nanti bagaimanakah kerajaan baharu kali ini berusaha membanteras masalah rasuah, memperkasakan sistem perundangan pilihan raya, institusi pengajian tinggi, polis dan sebagainya.
Kepada mantan kerajaan BN jangan kecewa atas keputusan ini. Dunia politik bergerak dalam satu putaran. Dunia belum kiamat. Hari ini kita jatuh, esok pasti akan bangkit semula.










