K-A-S-I-H : Kesantunan pemimpin sekolah suburkan guru

Kerangka Kepimpinan K-A-S-I-H : Kesantunan pemimpin sekolah menyubur karamah insaniah guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Situasi :

“Seorang penolong kanan membentangkan laporan prestasi program dalam mesyuarat pengurusan. Laporan tersebut mempunyai beberapa kesilapan data dan tidak memenuhi format yang ditetapkan. Pengetua berasa kecewa kerana laporan tersebut perlu dihantar kepada pihak atasan pada hari yang sama.”

Pengetua dan Guru Besar ( PGB ) pernah mengalami situasi di atas ? Bagaimanakah agaknya situasi ini dapat ditangani dengan baik dan tugasan dapat diselesaikan dengan sempurna?

Dalam konteks situasi di atas, dengan menggunakan elemen ketiga dalam kerangka kepimpinan K-A-S-I-H iaitu S – santuni dengan empati,  PGB boleh mengambil tindakan berikut :

  1.     Peringkat awal PGB boleh mengiktiraf dulu usaha penolong kanan dalam menyediakan laporan tersebut.
  2.     Kemudian, jelaskan kesilapan secara objektif. Jangan menyindir atau teguran yang sinis.
  3.     Seterusnya, PGB dengar dulu penjelasan tanpa menyalahkan. Selalunya ruang penjelasan ini amat dihargai oleh kakitangan kita jika mereka membuat silap. Di sini empati berlaku.
  4.     Setelah penjelasan diberi dan kesalahan dikenal pasti, bantu untuk  pembetulan segera. Elakkan daripada menyerahkan sepenuhnya tugas pembetulan kepada kakitangan kita tanpa panduan seperti kata-kata “Awak cuba tanya orang lain macam mana nak betulkan laporan ini.” Ini akan menampakkan PGB pun tidak tahu apa yang dia mahu atau apa yang betul.
  5.     Sebagai pengajaran daripada situasi di atas, PGB tentukan format yang standard untuk laporan seterusnya.
  6.     Tetapkan mekanisme khusus untuk semakan data.
  7.     Pastikan ada pihak lain yang bertanggungjawab untuk menyemak laporan sebelum dihantar kepada PGB.
  8.     Tentukan tindakan susulan yang sesuai pada penghantaran berikutnya.

Impak segera daripada tindakan di atas, PGB dapat mengelakkan konflik dan yang paling penting perkara-perkara berikut akan diperoleh :

  1.     Laporan dapat diperbetulkan
  2.     Penolong kanan memahami jurang
  3.     Maruah individu terpelihara
  4.     Keyakinan tidak terjejas
  5.     Proses kerja bertambah baik
  6.     Kesalahan berulang dapat dikurangkan
  7.     Hubungan profesional bertambah kukuh.

Elemen santuni dengan empati ini juga akan menggerakkan PGB kepada amalan kepimpinan daripada :

  1.     mendengar kata-kata kepada memahami perasaan
  2.     menghukum individu kepada membetulkan tingkah laku
  3.     menyampaikan teguran kepada membina kesedaran
  4.     menggunakan kuasa kepada membina kepercayaan
  5.     mengawal melalui ketakutan kepada memimpin melalui penghormatan
  6.     memberikan keselesaan kepada membina perkembangan

Inilah kepimpinan manusiawi yang mengangkat martabat guru dan menyubur karamah insaniah.  

 

 AHMAD SHAFRIN ABDUL AZIZ

School Improvement Partner ( SIPartners + )

Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×