Zainol Fadzi tidak terkilan sekiranya tidak dilantik exco kerajaan negeri Perak - Utusan Malaysia

Zainol Fadzi tidak terkilan sekiranya tidak dilantik exco kerajaan negeri Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang baru menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak terkilan sekiranya beliau tidak dilantik sebagai exco kerajaan negeri. 

Menurut Zainol, beliau menyerahkan segala keputusan berhubung perkara tersebut kepada Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu untuk memilih exco kerajaan negeri.

Jelasnya yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa  Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, beliau tidak meletakkan sebarang syarat sewaktu menyertai PPBM secara rasmi bermula semalam.

“Saya memberi sokongan dan menyertai PPBM tanpa meletakkan sebarang syarat. Jadi, saya tidak mahu pihak tertentu menabur fitnah bahawa saya dijanjikan jawatan dalam kerajaan negeri.

“Penyertaan saya dalam PPBM untuk menjaga pengundi-pengundi di DUN Sungai Manik. Saya tidak mahu pengundi yang menyokong saya menjadi mangsa keadaan selepas pertukaran kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Jamuan Rakyat Pakatan Harapan di Bilik Gerakan Sungai Manik, Langkap di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Penerangan Keadilan Perak, Senator Siti Aishah Shaik Ismail menegaskan tiada sebarang bentuk jawatan ditawarkan kecuali bagi dua individu yang telah membantu kepada penubuhan kerajaan negeri.

Dua individu tersebut ialah bekas exco kerajaan negeri, Zainol Fadzi dan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi yang menyatakan sokongan mereka kepada PPBM.

Ahmad Faizal bagaimanapun hanya mempertimbang satu jawatan untuk kedua-dua individu tersebut yang akan dibincangkan dalam Majlis Pengerusi Pakatan Harapan Perak.

Dalam pada itu, menurut Zainol Fadzi, keputusan menukar parti itu demi kepentingan rakyat dan ia bukan disebabkan oleh parti yang disertainya.

“Rakyat perlu diutamakan dan dengan keadaan hari ini, keputusan yang ditunjukkan oleh rakyat menjadi kekuatan.

“Setakat ini, saya meneruskan tugasan sebagai ADUN Sungai Manik dan pusat khidmat sudah dibuka selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×