ALOR SETAR – Seorang anggota polis cedera akibat ditetak di beberapa bahagian badan termasuk pada pipi kiri dalam kejadian di hadapan bangunan kedai di Taman Desa Aman, Kulim dekat sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah malam itu, mangsa yang berpangkat koperal dan berusia lewat 40-an itu dikatakan diserang seorang lelaki dipercayai warga Myanmar.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada orang awam.
“Mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa menjalani pembedahan di hospital tersebut dan berada dalam keadaan stabil.
Tambahnya, pihaknya sedang giat mengesan suspek terlibat selain mengenal pasti motif kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” tambahnya. – K! ONLINE










