GEORGE TOWN – Gerakan Pulau Pinang mahu Teng Chang Yeow yang meletak jawatan pada Rabu lepas terus menerajui parti itu.
Naib Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, ini kerana, mereka berpandangan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) minggu lepas bukan berpunca daripada kelemahan kepimpinan Teng sebaliknya disebabkan tsunami rakyat.
“Demi meneruskan perjuangan parti, kami amat memerlukan seorang pemimpin yang berbakat, berkebolehan dan berkaliber untuk memimpin kami dan buktinya anggota-angota parti di semua 13 Bahagian mahu Teng kekal menerajui parti dan berjuang membantu rakyat Pulau Pinang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Oh berkata Gerakan Pulau Pinang juga akan mengadakan satu mesyuarat khas minggu depan bagi membincangkan perkembangan semasa dan hala tuju parti.
“Jika Teng bertegas tidak mahu memegang jawatan (Pengerusi Gerakan negeri) itu, maka terserah kepada anggota parti untuk membuat pilihan pada pemilihan parti yang akan diadakan September ini,” katanya. – Bernama










