JURULATIH pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC), Datuk K. Rajagobal mahu para pemain lebih fokus meskipun telah mendahului perlawanan ketika mereka menang 3-2 ke atas Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam kelmarin.
Dalam pertemuan ke-10 Liga Super tersebut, Safee Sali, Muhammad Faris Ramli dan Jonathan Acosta berjaya mencipta nama selaku penjaring untuk menafikan kebangkitan yang cuba dipamerkan oleh wakil Lembah Klang itu ketika bertandang ke tempat lawan.
Rajagobal merasakan pemainnya hilang fokus pada babak kedua perlawanan selepas memberikan ruang kepada skuad Warga Kota untuk terus memberikan asakan kepada benteng pertahanan PKNS FC.
“Saya telah berpesan kepada pemain, walaupun telah mendahului 3-1 dalam perlawanan tersebut, pemain tidak seharusnya terburu-buru untuk mengatur serangan bagi menambah jaringan.
“Sepatutnya mereka bermain dengan lebih positif ketika mendominasi perlawanan. Dalam situasi ini pemain perlu sabar dalam membuat sesuatu keputusan kerana kegagalan tersebut menyebabkan kami telah hilang penguasaan bola.
“Ia menyebabkan Kuala Lumpur berjaya memperoleh satu gol pada lewat permainan dan tidak mustahil mereka akan mendapat gol penyamaan sekiranya pemain terus hilang fokus ketika diasak pihak lawan,” katanya selepas perlawanan tersebut.
Sementara itu, bekas pengendali skuad kebangsaan tersebut juga percaya jika pemain lebih berwaspada mereka pasti dapat menambah derita pasukan lawan dengan jaringan tambahan pada babak kedua.
“Sekiranya pemain dapat memanfaatkan beberapa peluang dengan baik sudah pasti Kuala Lumpur akan menerima lebih banyak tekanan daripada PKNS FC.
“Saya tetap kecewa dengan gol kedua pasukan lawan yang hadir pada masa tambahan dan mahukan ia menjadi pengajaran kepada semua pemain supaya perlu lebih fokus sehingga tamat permainan.
“Sekarang pemain perlu menumpukan untuk memperbaiki segala kelemahan bagi berdepan aksi separuh akhir Piala FA bulan depan,” ujarnya.
Bagaimanapun, keputusan tersebut menyaksikan The Red Antz berjaya memintas kedudukan Terengganu FC I (TFC I) di kedudukan keempat liga selepas kedua-dua pasukan dipisahkan dua mata sahaja.










