KUALA LUMPUR – Jaminan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Malaysia tetap akan menjadi sebuah pasaran mesra perniagaan dilihat mampu meyakinkan para pelabur untuk terus memilih negara ini sebagai destinasi pelaburannya.
Pengarah Projek Khas, Universiti Kuala Lumpur, Prof. Madya Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, berdasarkan prestasi memberangsangkan di Bursa Malaysia pada hari pertama dagangan minggu ini setelah dibuka semula selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), pasaran jelas memberikan reaksi positif.
“Reaksi positif ini menggambarkan keyakinan pelabur terhadap kepimpinan baharu yang diketuai Dr. Mahathir meskipun terdapat pelbagai spekulasi di sebaliknya.
“Ini ditambah lagi dengan penubuhan panel Majlis Penasihat Kerajaan yang mempunyai pengalaman meluas dalam bidang masing-masing yang bakal menyuntik sentimen keyakinan dalam kalangan pelabur dalam dan luar negara,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi di sini semalam.
Pada sesi penutupan dagangan pukul 6 petang semalam, pananda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 3.91 mata kepada paras 1,850.42 daripada 1,846.51 mata ketika ditutup Selasa lepas.
Meskipun pasaran mengalami kejatuhan signifikan pada sesi awal dagangan susulan reaksi tindak balas spontan ke atas PRU 14, Bursa Malaysia kembali mengukuh dan meneruskan aliran dagangan menaik pada sesi tengah hari susulan sokongan belian serta selari dengan harga minyak yang meningkat.
Sementara itu, ditanya mengenai prestasi syarikat senaraian awam yang menerima kontrak-kontrak mega kerajaan sebelum ini, Aimi Zulhazmi berkata, pasaran bertindak secara semula jadi dengan memperlihatkan beberapa syarikat yang diketahui mendapat projek-projek kerajaan sedikit menurun.
“Namun, saya menjangkakan keadaan itu kembali stabil apabila kerajaan baharu mengumumkan polisi dan dasar baharu dengan lebih jelas nanti,” jelasnya.
Selain itu, Ketua Global Strategi Mata Wang & Penyelidikan Pasaran FXTM, Jameel Ahmad berkata, pengumuman cuti umum selama dua hari yang sekali gus merehatkan sesi dagangan susulan kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU 14 disifatkan sebagai satu langkah berjaya bagi mengelakkan situasi panik dalam pasaran.










