KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) menerima lebih daripada 700 permohonan bagi program Khazanah Nasional Entrepreneurship Outreach (KNEO) yang dilancarkan Oktober tahun lepas.
Timbalan Pengarah Urusan Khazanah, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz berkata, program selama 28 minggu yang berakhir semalam itu menyaksikan tiga pemenang utama telah dipilih.
Mereka dipilih daripada 12 syarikat yang disenarai pendek untuk pembentangan idea perniagaan.
“KNEO merupakan inisiatif yang dilaksanakan Khazanah untuk membantu meningkatkan daya saing usahawan dan syarikat permulaan tempatan menerusi program bimbingan yang dijalankan dengan kerjasama rakan pemecut (accelerator).
“Hasil daripada program ini, kami melihat terdapat banyak idea inovatif dan berdaya saing, yang dilihat mampu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, sekali gus membuktikan tahap keupayaan yang dimiliki oleh usahawan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena acara penutup program KNEO, Hari Demo di Zebra Square, Jalan Kampung Pandan di sini semalam.
Pada acara tersebut, tiga pemenang utama telah diumumkan iaitu Solviepro Sdn. Bhd., JomPaw Sdn. Bhd. dan Homegrown Farms Sdn. Bhd.
Tiga syarikat tersebut dipilih berdasarkan sesi pembentangan idea yang dilakukan.
Sebagai ganjaran, ketiga-tiga syarikat permulaan tersebut menerima dana tambahan sebanyak RM30,000 setiap satu.
KNEO merupakan lanjutan daripada projek Brainchild, suatu inisiatif yang dimulakan oleh Khazanah pada tahun 2015 bagi mencungkil dan membentuk bakat keusahawanan dalam kalangan warga syarikat itu dan syarikat miliknya.
Daripada permohonan permulaan, sebanyak 86 syarikat telah dipilih untuk menghadiri sesi bootcamp, di mana 30 kemudiannya disenarai pendek dan menjalani program pemecut yang dijalankan dengan rakan pemecut KNEO iaitu 1337 Ventures,CodeAr.my dan WatchTower & Friends.










