Keluarga militan serang polis - Utusan Malaysia

Keluarga militan serang polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SURABAYA, Indonesia – Sebuah keluarga militan di Indonesia membawa seorang kanak-kanak berumur lapan tahun semasa melancarkan serangan pengebom bunuh diri terhadap pasukan polis di Surabaya semalam, sehari selepas sebuah lagi keluarga militan membunuh 13 orang dalam letupan di tiga buah gereja di bandar sama.

Agensi berita AFP melaporkan, lima anggota keluarga berkenaan termasuk seorang kanak-kanak perempuan terlibat dalam serangan terbaharu itu.

Ketua Polis Indonesia, Tito Karnavian berkata, pengebom-pengebom bunuh diri itu me­nunggang dua motosikal menuju ke pos pemeriksaan di luar sebuah balai polis di Surabaya lalu meletupkan diri mereka.

“Terdapat lima orang menaiki dua buah motosikal. Seorang daripada mereka merupakan kanak-kanak kecil. Mereka adalah sekeluarga,” kata Tito.

Menurutnya, budak perempuan berumur lapan tahun itu selamat dan dirawat di hospital tetapi ibu, bapa dan dua abang­nya maut dalam letupan tersebut.

Rakaman televisyen litar tertutup menunjukkan budak perempuan itu bangkit dan terhuyung-hayang selepas letupan berlaku.

“Empat anggota polis dan enam orang awam cedera dalam serangan ini,” kata jurucakap polis Jawa Timur, Frans Barung Mangera.

Menurut agensi berita Bernama, enam orang maut manakala 10 yang lain cedera dalam sera­ngan itu di pintu masuk balai polis di Jalan Sikatan, Surabaya pada pukul 8.50 pagi semalam (waktu tempatan).

Sementara itu, Presiden Joko Widodo mengutuk siri serangan di bandar kedua terbesar di Indonesia itu sebagai ‘tindakan pengecut’ dan berjanji akan meluluskan rang undang-undang keganasan baharu bagi meme­rangi rangkaian militan.

Polis mengesyaki serangan kelmarin ke atas tiga buah ge­reja dilakukan oleh cabang kumpulan Daesh dikenali sebagai Jemaah Ansharut Daulah (JAD).

Bapa keluarga yang terlibat dalam serangan tersebut merupakan ketua JAD di Surabaya, kata Tito.

Menurutnya, polis menembak mati seorang suspek dan menangkap empat yang lain semasa melancarkan operasi bagi memburu kumpulan JAD di Surabaya pada minggu ini.

Dalam satu lagi insiden di Sidoarjo, selatan Surabaya, Tito berkata, polis menemui sebila­ngan bom paip di dalam sebuah apartmen di mana tiga sekeluarga terbunuh ketika sedang membuat bom. Tiga kanak-kanak daripada keluarga sama bagaimanapun terselamat dan dirawat di hospital.

Secara keseluruhan, seramai 25 orang terbunuh sejak sera­ngan bom kelmarin termasuk 12 suspek militan, tambah Tito. – AFP/Reuters/Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×