Dimensi politik baharu Johor - Utusan Malaysia

Dimensi politik baharu Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EPISOD politik Johor mema­suki fasa berbeza apabila majoriti daripada lebih 1.8 juta pengundi di negeri ini mahukan perubahan dengan memilih Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai teraju baharu Johor.

PH mengambil alih tampuk pemerintahan selepas Barisan Nasional (BN) menerajui negeri ini selama 60 tahun sekali gus mengakhiri keistimewaan Johor sebagai ‘negeri UMNO’. Tsunami Melayu yang dinafikan sebelum ini benar-benar menjelma dan menembusi kubu politik BN.

PH mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam PRU-14 manakala BN mendapat 19 kerusi dan Pas satu kerusi.

Sehingga kini peralihan kuasa antara BN dan PH berjalan lancar dimulakan dengan pelantikan Menteri Besar yang baharu, Datuk Osman Sapian, 67, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas dan Setiausaha PH negeri.

Bagaimanapun, belum pun sempat Menteri Besar melangkah masuk pejabatnya sudah terpalit beberapa isu kontroversi. Osman dalam sidang akhbar pertama selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor Ke-16 memberitahu, tiada peruntukan kecil pembangunan akan diberi kepada pembangkang di negeri ini kerana dana itu hak kerajaan yang memerintah.

Osman berkata, semasa UMNO dan BN memerintah pembangkang juga tidak diberikan sebarang peruntukan. Kenyataan itu mendapat kecaman hebat netizen termasuk mendapat teguran wakil rakyat PH sendiri seperti Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Pengerusi PAN Johor, Aminolhuda Hasan dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik.

Selain itu, beliau yang mengubah slogan Muafakat Itu Berkat kepada Harapan Johor turut mendapat kritikan. Masyarakat masih mahukan slogan itu dikekalkan kerana begitu sentimental dan amat dekat dengan jiwa Johor mereka.

Malah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu entri di Facebook Johor Southern Tigers malam tadi memberitahu, Muafakat Itu Berkat adalah slogan yang sudah lama digunakan, sejak tertubuhnya Johor pada tahun 1885.

Perkembangan tersebut menunjukkan satu permulaan yang tidak baik kepada Menteri Besar baharu itu sebelum memulakan tugas rasminya. Sehinggakan ada yang meramalkan Osman tidak sampai setahun akan memegang jawatan berkenaan, ini satu andaian yang tidak adil.

Terlalu awal untuk menilai Osman dan kerajaan baharu pimpinannya kerana belum diuji atau dibuktikan kegagalan mahupun kejayaannya. Begitu juga barisan Exco melibatkan 10 portfolio baru sahaja dimuktamadkan untuk dipersembahkan kepada Sultan Johor.

Kerajaan negeri yang baharu seharusnya melupakan dendam dengan tidak menjadikan pengundi BN sebagai mangsa politik mereka. Pilihan pengundi wajar dihormati, politik matang dan sihat wajar disuburkan termasuk menghalang wakil rakyat daripada melompat parti.

Sekarang adalah masanya untuk menstabilkan politik serta fokus kepada agenda pembangunan rakyat dan negeri. Formasi kerajaan baharu yang berwibawa, telus, berintegriti, bebas rasuah, cekap, amanah dan bertanggungjawab harus diutamakan.

Tidak perlu mencari kesalahan kerajaan negeri terdahulu kerana tiada pemerintahan yang benar-benar sempurna. PH amat bertuah kerana mewarisi kerajaan Johor yang stabil dan negeri termaju di Malaysia dengan pelaburan tertinggi.

Pencapaian dan jasa kerajaan BN terutama di bawah kepimpinan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terlalu besar dan tidak dapat dinafikan. Diharap kerajaan PH akan meneruskan kesinambungan pembangunan hebat dilakukan kerajaan BN itu.

Mereka juga perlu tampil dengan idea, formula segar dan dasar pro rakyat. Segala dasar yang masih relevan boleh diteruskan atau ditambah baik walaupun itu merupakan ‘produk BN’.

Osman selaku ketua kerajaan negeri yang baharu bukan sahaja harus berjiwa besar tetapi juga mentalnya juga wajar menterjemahkannya sebagai seorang Menteri Besar.

Beliau harus mempunyai penasihat yang betul dan berpakaran untuk mentadbir apatah lagi semua Exco tidak mempunyai pengalaman dalam mentadbir negeri. Memimpin Johor amat mencabar kerana merupakan sebuah negeri yang kompleks dan sedang bergerak pantas ke hadapan.

Pentadbiran Menteri Besar juga seharusnya tidak tunduk atau dikawal tangan ghaib hanya kerana mahu memenuhi kepentingan atau memuaskan nafsu pihak tertentu sebaliknya mengutamakan kepentingan rakyat dalam apa juga keadaan.

Kira-kira 3.5 juta rakyat Johor kini memerhatikan perkembangan kerajaan baharu ini dan mereka harus menunaikan janji manifesto mereka untuk tempoh 100 hari seperti dijanjikan.

Terima kasih Mohamed Khaled dan kepimpinannya atas segala jasa serta sumbangan besar mereka. Selamat datang dan selamat berkhidmat Osman Sapian serta barisan kepimpinannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×