Polis buru tiga lelaki cederakan mekanik - Utusan Malaysia

Polis buru tiga lelaki cederakan mekanik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 14 Mei – Polis memburu tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung satu kes pukul mengakibatkan kecederaan parah terhadap seorang mekanik di Kampung Losong di sini, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis daerah, Superintenden Suffian Sulaiman berkata, buat masa ini identiti salah seorang daripadanya sudah dikenal pasti iaitu Che Azhar Che Khas, 55, dan dia dipercayai masih berada di daerah ini.

Katanya, kejadian kira-kira pukul 5 petang itu dikatakan berpunca akibat rasa tidak puas hati Che Azhar terhadap mangsa ekoran terpaksa membayar kos baik pulih kenderaan yang didakwa tinggi iaitu sebanyak RM500.

“Kita telah berjumpa dengan isteri suspek di rumahnya di Kampung Setar Baru dan meminta menyerah diri namun, suspek masih gagal berbuat demikian,”ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa yang dihentak dengan pasu bunga dan batu selain turut diikat menggunakan dawai besi disahkan patah tulang rusuk dan lebam di kepala serta muka.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di bengkel bersebelahan rumahnya sebelum didatangi tiga lelaki.

Menurut Suffian, siasatan mendapati Che Azhar mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah di samping khianat dengan api dan merusuh atau gaduh.

Katanya, polis masih mengesan dua lagi suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×