Rakyat Palestin berhimpun untuk pulang ke tanah air - Utusan Malaysia

Rakyat Palestin berhimpun untuk pulang ke tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Mei – Puluhan ribu rakyat Palestin berhimpun di jalan raya sekitar Gaza hari ini sebagai persiapan untuk memulakan perjalanan ke tanah air mereka yang diduduki secara haram oleh rejim Zionis Israel sejak Mei 1948.

Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) berkata, langkah itu terpaksa diambil berikutan kesulitan hidup di Gaza serta ancaman yang ditimbulkan oleh pihak berkuasa Israel terhadap identiti Baitulmuqaddis.

Menurut PCOM, penganjur Great March of Return telah berulang kali menyeru kepada masyarakat antarabangsa agar melaksanakan Resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang menegaskan tentang hak pelarian Palestin untuk pulang ke negara asal mereka.

“Walau bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada tindakan konkrit yang dilakukan.

“Rakyat Palestin menggiatkan lagi usaha mempertahankan hak mereka dalam situasi di mana rejim Zionis Israel cuba menghapuskan apa sahaja yang berkaitan dengan Palestin, seperti yang dapat disaksikan sekarang di Baitulmuqaddis,” kata PCOM dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebanyak 47 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh manakala kira-kira 7,900 orang dilaporkan cedera apabila tentera rejim Zionis Israel bertindak terhadap para peserta Perhimpunan Great March of Return pada 30 Mac lalu.

PCOM menambah, pendudukan haram rejim Zionis Israel dan segala tindakannya telah menafikan hak asasi rakyat Palestin.

“Demokrasi umpama mimpi di wilayah Palestin yang diduduki Israel,” jelas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sebahagian besarnya dianggotai rakyat Palestin itu.

PCOM turut berharap agar suara warga Palestin sentiasa diberi perhatian sewajarnya oleh rakyat Malaysia.

“Insya-Allah, sokongan padu oleh kerajaan dan rakyat Malaysia akan dirasai oleh warga Palestin,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×