KUALA LUMPUR 13 Mei – Sikap membisu golongan sivil terhadap larangan perjalanan ke luar negara yang dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor mengundang persoalan.
Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong Kim Seng menegaskan, hal itu tidak sepatutnya berlaku kerana Najib dan Rosmah masih lagi tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya.
Katanya, sikap yang ditunjukkan Majlis Peguam dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) amat berbeza dengan pendirian dan bantahan berhubung perintah larangan ke atas rakyat ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini.
“Mengapa mereka membisu sekarang? Bukankah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap mengenai keperluan agar kedaulatan undang-undang dipatuhi? Bukankah seseorang dianggap tidak bersalah sehingga terbukti bersalah?
“Keputusan menyekat hak kebebasan individu untuk melakukan perjalanan tanpa memberi sebarang alasan bertulis tidak boleh dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan seperti dipetik portal Malaysiakini di sini, hari ini.
Kim Seng mengulas tindakan Jabatan Imigresen menyenaraihitamkan Najib dan Rosmah daripada meninggalkan Malaysia.
Mengulas lanjut, Kim Seng menegaskan, beliau tidak mempertahankan atau memihak kepada Najib, namun membangkitkan isu kebebasan peribadi termasuk hak untuk melakukan perjalanan ke luar negara.
Dalam pada itu, Dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof.Datuk Dr. Rahmat Mohamad berkata, proses menyenaraihitamkan rakyat untuk ke luar negara merupakan tindakan biasa yang dilakukan kerajaan sama seperti peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Walaupun begitu Rahmat berkata, kerajaan baharu ketika ini diingatkan supaya menghormati dan mengekalkan keluhuran undang-undang yang sentiasa diperkatakan Perdana Menteri sebaik sahaja memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Sememangnya setiap rakyat mempunyai hak di sisi undang-undang, namun proses disenaraihitam untuk ke luar negara bukanlah suatu tindakan yang luar biasa.
“Namun apa pun tindakan yang diambil perlu berdasarkan kepada lunas undang-undang seperti mana yang diperkatakan Dr. Mahathir iaitu menjamin keluhuran Perlembagaan dan menghormati undang-undang negara,” ujar beliau.










