KUANTAN 13 Mei – Majlis perjumpaan semula eksekutif pelatih Felda Plantation Sdn. Bhd. (FPSB) yang kini dikenali sebagai Felda Global Ventures Plantation Malaysia (FGVPM) disambut meriah di sebuah resort di sini baru-baru ini.
Program inisiatif bersama kira-kira 20 eksekutif yang kini masing-masing berjawatan pengurus dan penolong pengurus ladang mengumpulkan kira-kira 60 orang termasuk ahli keluarga mereka.
Penyelaras program, Hasbullah Hussin berkata, pihaknya bersyukur program yang dirangka sejak awal tahun ini mendapat sambutan dan cukup meriah terutama dengan pengisian pelbagai aktiviti.
“Hampir 12 tahun tidak berjumpa masing-masing ditempatkan di ladang FGVPM seluruh negara termasuk Sabah dan pertemuan semula ini dapat mengeratkan lagi silaturahim.
“Dengan adanya program seperti ini, dapatlah keakraban yang terjalin sejak mula berkenalan ketika sama-sama bergelar pelatih diteruskan di samping dapat berkongsi pandangan mengenai kerjaya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurut Hasbullah yang kini bertugas sebagai Pengurus Ladang FGVPM Tembangau 7, pertemuan semula itu dicadang diteruskan pada masa akan datang berikutan maklum balas cukup positif yang diterima daripada peserta.
“Kami menganjurkan permainan boling, sukaneka untuk kanak-kanak, tayangan montaj dan jamuan makan malam. Rata-rata yang hadir dari Perak, Johor, Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur dan negeri ini,” katanya.
Sementara itu, seorang peserta, Amirul Azizam, 42, berharap pertemuan semula tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang atau dijadikan acara dwitahunan kerana menerusinya dapat mengetahui perkembangan terkini rakan setugas.
“Selepas tamat latihan dan kekangan masa ekoran tugasan, kami jarang berjumpa. Apabila ada program seperti ini yang dirancang dengan teliti, pastinya saya dan keluarga akan menyertainya,” katanya yang merupakan Pengurus Ladang FGVPM Chiku, Kelantan.
Bagi Pengurus Ladang FGVPM Bukit Sagu 8, Faizal Ahmad, melalui pertemuan semula berkenaan mereka dapat berkongsi pandangan mengenai kerjaya di samping bertanya khabar.
“Kami turut merancang untuk menganjurkan pertemuan semula ini pada masa akan datang dengan pelbagai pengisian yang lebih menarik baik untuk kami, pasangan dan anak masing-masing.
“Semua aktiviti pastinya bermatlamat mengeratkan hubungan sesama kami agar kekal berpanjangan meskipun berjauhan,” katanya.










