KUALA LUMPUR 13 Mei – Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan atas kejayaan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menerusi satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan baharu ini diharap dapat meneruskan perhatian dan solidariti terhadap Palestin serta rakyatnya seperti mana dimainkan oleh Malaysia selama ini.
“Palestin sentiasa dianggap penting dalam hati seluruh rakyat Malaysia dan segala isu membabitkan Palestin sentiasa diberikan perhatian istimewa oleh kerajaan terdahulu.
“Kami juga yakin bahawa Pakatan Harapan dan Dr. Mahathir mampu memimpin negara ke satu tahap yang tinggi dan penuh kemakmuran,” kata kenyataan berkenaan.
Sementara itu, PCOM turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini aktif menyumbang dan membela perjuangan rakyat Palestin. – UTUSAN ONLINE










