KOTA KINABALU 13 Mei – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman masih bertegas beliau adalah Ketua Menteri yang sah walaupun Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal telah mengangkat sumpah semalam.
Setiausaha akhbar beliau, Afeiza Khan dalam satu kenyataan berkata, tiada apa-apa yang berubah dan Musa juga tidak pernah meletakkan jawatan.
“Sila ambil maklum tiada apa-apa yang berubah. Tan Sri Musa Aman tidak meletak jawatan. Beliau masih Ketua Menteri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Khamis lalu, Musa telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di Istana Negeri selepas mendakwa memperoleh majoriti mudah sebanyak 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Bagaimanapun, sekurang-kurangnya enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN telah menyertai Warisan selepas itu menyebabkan beliau secara teknikalnya tidak lagi mempunyai sokongan majoriti.
Berikutan itu, semalam, Mohd. Shafie telah mengangkat sumpah di depan Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri sebagai Ketua Menteri dan membentuk kerajaan.










