TANGGAL 19 Mei sudah makin hampir! Rasanya seluruh dunia tidak sabar menanti pernikahan Putera Harry dan Meghan Markle.
Jumaat lalu, Istana Kensington mengesahkan satu informasi penting tentang pernikahan diraja tersebut. Pernyataan daripada istana itu akhirnya telah menghentikan spekulasi tentang sama ada bapa Meghan, Thomas Markle akan dijemput ke perkahwinan anaknya.
Ini kerana lelaki itu dikatakan tidak mempunyai hubungan yang rapat dengan Meghan. Pun begitu berdasarkan informasi yang dikeluarkan ternyata Thomas akan dijemput ke majlis tersebut dan berpeluang memimpin tangan anak perempuannya ke altar.
Menurut setiausaha komunikasi Harry dalam satu kenyataan, Markle sangat berbesar hati untuk bersama kedua ibu bapanya pada hari yang penting dan bahagia itu.
“Thomas Markle dan Doria Ragland akan tiba di United Kingdom pada minggu perkahwinan untuk menghabiskan waktu bersama keluarga Putera Harry. Ini termasuk Ratu Elizabeth, Duke Edinburgh, Putera Wales, Duchess Cornwall dan Duke dan Duchess Cambridge sebelum tibanya hari besar tersebut,” ujar sumber itu.
Meghan memang disayangi oleh ramai orang yang mengenalinya namun bakal puteri raja Britain itu tidak mempunyai hubungan yang begitu baik dengan sebahagian besar saudara maranya.
Saudara perempuan Meghan di sebelah bapanya tidak henti-henti merungut di Twitter kerana dia tidak dijemput sementara saudara lelakinya pula menulis surat terbuka kepada Harry menggesa putera raja itu membatalkan perkahwinannya.
“Setelah masa berlalu dan makin menghampiri perkahwinan anda, semakin jelas bahawa ini adalah satu kesilapan terbesar dalam sejarah perkahwinan diraja. Meghan Markle jelas sekali bukanlah wanita yang tepat buat anda,” tulis abang kepada Meghan.
Menurut lelaki berusia 51 tahun itu lagi, Meghan telah menjadi sombong dan Harry patut menghentikan kisah cinta dongeng itu.
Mungkin ramai yang akan menggeleng kepala mendengar cerita ini. Sudah tentulah surat terbuka itu sia-sia kerana tidak mungkin Putera Harry akan melayan sesuatu yang tidak masuk akal!










