Permulaan baharu kerajaan Pas Terengganu - Utusan Malaysia

Permulaan baharu kerajaan Pas Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERNGGANU -Ada suatu ungkapan yang menyentap pendengaran saya semasa Prof. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meladeni pertanyaan pihak media sejurus usai istiadat pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Terengganu.Ungkapan biasa yang lazimnya meniti dibibir anak muda.

Kata-katanya terasa aneh, yang saya percaya tak pernah disebut oleh mana-mana pemimpin Pas di negeri ini dan Kelantan dalam sebarang pertemuan dan ceramah untuk dipetik mengisi bahan berita atau olahan rencana sepanjang saya berkhidmat di dua negeri itu.

Dan sering pula saya tertanya-tanya mengapa soal yang disebutnya itu langsung tidak menjadi keutamaan sedangkan sepatutnya harus sentiasa seiring dengan politik dakwah Pas yang sentiasa dicanangkan.

Seolah-olah tiada dalam perbendaharaan kata politik mereka atau sememangnya tidak diperlukan untuk mengungkapnya selama ini ketika masa terarah kepada persaingan untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa.

Lulusan Doktor Falsafah Aeroengine Ignition and Combustion High Altitude Engine Failure dari Universiti of Leeds, United Kingdom yang merupakan Setiausaha Politik kepada Presiden Pas dan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat ternyata berbeza, bukan watak tipikal biasa orang Pas.

Dengan mandat yang dikembali semula oleh rakyat, kerajaan yang diterajuinya kini akan digerakkan atas landasan ‘kasih sayang’. itu penegasannya, dan itulah perkataan yang tidak pernah didengar selama ini.

Apa yang sering kedengaran tidak lebih bibit-bibit yang lebih membelah bahagi masyarakat dengan permainan politik yang tidak berkesudahan malah memberi label buruk kepada parti dengan slogan perjuangan Islam itu bagi

mereka yang impikan syiar Islam dilihat menyerlah dalam segenap apsek kehidupan termasuk kebersihan.

Mungkin bertolak atas pendekatan melengkapkan makna politik matang dan sejahtera, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan pimpinannya akan membawa mesej kasih sayang untuk semua golongan tanpa mengira bangsa yang merupakan aspirasi Pas ke arah mewujudkan sebuah kerajaan untuk rakyat.

Kasih sayang suatu perasaan indah, tenang dan harmoni yang tandai dengan sifat, perlakuan atau tindakan seseorang terhadap kalangan manusia yang lain, juga kepada alam dan haiwan.

Ia sebahagian daripada fitrah manusia manusia, dan Islam mengajar serta mengajak hidup secara damai diselubungi perasaan itu, bukannya untuk mencetuskan kezaliman, permusuhan, kemusnahan dan kerosakan.

Justeru peralihan kuasa yang sekali lagi tidak diduga, kali ini berlaku dengan tenang, dan tiada langsung memperlihatkan keghairahan untuk menunjuk kuasa di semua peringkat ketika Pas diberi kepercayaan oleh rakyat pada tahun 1999 sebelum ditunjuk pintu keluar hanya selepas sepenggal.

Kasih sayang. Suatu permulaan baharu bagi Pas di bawah Menteri Besar Terengganu yang baharu dan rakyat mungkin tertunggu-tunggu limpahan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×