Aminuddin nafi kakitangan Tabika Kemas, Perpaduan diberhentikan - Utusan Malaysia

Aminuddin nafi kakitangan Tabika Kemas, Perpaduan diberhentikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun menafikan dakwaan kononnya kakitangan Tabika Perpaduan dan Tabika Kemas diberhentikan kerja oleh kerajaan negeri baharu.

Sebaliknya, beliau menasihatkan kakitangan di kedua-dua tabika terbabit supaya terus melaksanakan tugas seperti biasa.

“Kami dari pihak kerajaan negeri tidak mengambil sebarang tindakan untuk memberhentikan mana-mana kakitangan. Mereka tetap boleh meneruskan kerja sebagai kakitangan kerajaan dan sesi persekolahan tetap akan diteruskan seperti biasa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Aminuddin turut mengarahkan mana-mana individu yang mengambil harta milik kerajaan negeri di balai raya, pusat khidmat dewan undangan negeri (DUN) dan dewan orang ramai supaya memulangkannya semula atau berdepan tindakan.

“Antara barangan yang telah diambil dari tempat tersebut adalah seperti kipas, meja, kerusi dan penghawa dingin. Saya dengan ini berharap agar kesemua barang tersebut dapat dipulangkan semula dalam keadaan sedia kala kerana ia milik kerajaan negeri dan sekiranya tidak berbuat demikian hingga esok tindakan undang-undang akan diambil.

“Kami tidak menyalahkan mana-mana pihak, cuma diharapkan pemulangan barangan tersebut dapat dilakukan untuk kemudahan masyarakat, ” katanya. – Bernama
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×