Perlis negeri pembangkang, apakah projek pembangunan diteruskan - Utusan Malaysia

Perlis negeri pembangkang, apakah projek pembangunan diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN) telah menyebabkan Perlis adalah antara tiga negeri yang menjadi pembangkang dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Justeru wujud kebimbangan sekiranya projek-projek yang dilancarkan kerajaan negeri sebelum ini akan terjejas, sekali gus sudah tentu akan merencatkan pembangunan di negeri paling utara di Semenanjung ini.

Apatah lagi bagi sebuah negeri tanpa sumber dan ditambah pula keadaan negeri yang serba kekurangan dalam konteks infrastruktur bagi tujuan pelaburan pihak swasta.

Berdasarkan rekod, terdapat empat buah projek pelaburan bersaiz mega telah dilancarkan pada 2017 dan tahun ini. Namun harus diingat, bahawa kesemuanya itu tidak melibatkan pelaburan dana awam tetapi sebaliknya oleh pihak swasta.

Projek itu adalah Jeti Bersepadu di Sanglang bernilai RM1.8 bilion; pembangunan bercampur di Kuala Perlis (RM311.4 juta); pembinaan hotel dan pangsapuri atau Pusat Bandar Kangar (KCC) – RM368 juta dan Pelabuhan Darat Perlis (PIP).

Projek jeti bersepadu dibangunkan menerusi usaha sama antara syarikat tempatan, Mutiara Perlis Sdn. Bhd. dan anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Pembangunan bercampur pula adalah antara Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dan Tabung Haji Properties Sdn. Bhd. (THP) manakala KCC pula, antara PKENPs dan pemaju hartanah terkemuka, Kumpulan Safuan Holdings Berhad dan begitu juga PIP.

Kesemua projek itu diyakini tidak terjejas dan akan diteruskan oleh pihak swasta, malahan ada yang telah pun dimulakan kerja-kerja awal pembinaannya seperti pembangunan bercampur di Kuala Perlis.

Bagi pembangunan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) bernilai kira-kira RM1 bilion yang menggunakan pelaburan dana awam, ia pula telah ‘dikunci’ menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Malah peruntukan telah pun diberikan dalam Rolling Plan pertama, kedua dan ketiga.

Sudah tentulah pembangunan ini akan diteruskan kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Perlis, malahan rakyat secara keseluruhannya, lebih-lebih lagi di negeri-negeri berhampiran. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×