KUALA LUMPUR – Pihak polis menafikan berlakunya serbuan ke atas sebuah unit kondominium mewah di Pavilion Residences di sini yang didakwa dimiliki oleh ahli keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang disiarkan oleh agensi berita antarabangsa Reuters lewat malam tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, tiada serbuan yang dilakukan di lokasi berkenaan dan laporan tersebut hanyalah rekaan semata-mata.
“Pihak polis ada menerima laporan daripada Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berhubung satu klip video yang memaparkan beberapa individu memindahkan barangan didakwa milik isteri kepada bekas pemimpin tersebut di kondominiun berkenaan.
“Buat masa ini, laporan polis tersebut masih lagi di dalam proses siasatan,” katanya ketika dihubungi pihak media awal pagi tadi.
Mazlan turut mempersoalkan sumber agensi berita antarabangsa tersebut.
“Setakat ini, tindakan yang telah dilakukan adalah meneliti rakaman Televisyen Litar Tertutup (CCTV) kondominium mewah berkenaan bagi menyiasat kebenaran laporan polis tersebut serta merakam percakapan anggota polis bantuan yang bertugas di sana,” tegasnya.
Tinjaun Kosmo! di kondominium mewah terbabit mendapati beberapa petugas akhbar tempatan turut berkumpul di sana bagi menyiasat kebenaran laporan agensi berita antarabangsa tersebut.
Menurut pengawal keselamatan bertugas, terdapat beberapa orang anggota polis hadir untuk bertemu pihak pengurusan namun enggan mengulas dengan lebih lanjut. – K! ONLINE










