SUASANA sayu dan pilu menyelubungi sidang akhbar di Menara Dato’ Onn yang menjadi ibu pejabat UMNO semalam.
Rintikan hujan yang mulanya perlahan menjadi semakin lebat seperti memahami perasaan kepemimpinan serta ahli parti itu ketika ini.
Bermula dengan kekalahan yang tidak pernah dibayangkan oleh parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Rabu lalu, tempoh beberapa hari selepasnya dijalani dengan penuh rasa ‘tidak kena’ oleh kepemimpinan dan ahli UMNO.
Mungkin akibat tekanan dan emosi yang tidak terkawal, banyak kenyataan dikeluarkan oleh ahli parti di pelbagai peringkat mengulas mengenai kekalahan UMNO serta komponen Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan.
Ini merupakan kekalahan pertama bagi UMNO dan BN di peringkat Persekutuan serta beberapa negeri yang menjadi deposit tetap parti itu sebelum ini seperti Johor dan Sabah, menjadikan mereka sebagai pihak pembangkang.
Bagaimanapun, yang menjadi tumpuan di ibu pejabat parti itu semalam ialah keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatannya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN serta-merta.
Sama ada atas sebab tekanan daripada akar umbi khususnya sayap Pemuda, ataupun atas rasa muhasabah diri, keputusan Najib itu telah memberi satu gambaran jelas bahawa bekas Perdana Menteri itu seorang pemimpin berjiwa besar.
Bukan mudah untuk melepaskan sesuatu jawatan, lebih-lebih lagi dalam situasi penuh tekanan dihadapinya, namun Najib membuktikan beliau berani mengambil tanggungjawab atas kekalahan teruk UMNO dan BN pada PRU-14.
Meskipun mengakui ada faktor lain yang menyumbang kepada kekalahan itu seperti politik persepsi dan serangan fitnah, namun sekurang-kurangnya beliau tidak melarikan diri atau bersembunyi.
Najib sedar bahawa kekalahan UMNO dan BN juga disumbangkan oleh ‘kelemahan’ beliau sendiri dalam memimpin parti itu di ‘medan perang’ PRU-14.
Sehubungan itu, keberanian Najib tampil dan melepaskan jawatan yang telah disandang sejak tahun 2009 itu merupakan sesuatu yang sewajarnya dipuji.
Sebagai ‘jeneral’ beliau tidak meninggalkan parti. Parti tewas, beliau akur, beliau mengambil tanggungjawab dan meletak jawatan.
Ciri-ciri ini wajar dijadikan contoh bagi seorang pemimpin iaitu perlu berjiwa besar dan bertanggungjawab walau apa pun yang dihadapi.
Meskipun tewas pada PRU-14, namun tidak dapat dinafikan selama sembilan tahun Najib menjadi Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi BN, banyak juga perkara baik serta bermanfaat yang telah dilaksanakan.
Banyak golongan rakyat yang mendapat kebaikan daripada program serta inisiatif beliau ketika berada di tampuk kekuasaan.
Pengunduran Najib sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu memberi signal bahawa inilah penamat kepada karier politik diceburinya sejak usia muda lagi.
Meskipun penamatnya mungkin tidak seperti diharapkan, namun sekurang-kurangnya Najib membuktikan beliau seorang pemimpin bermaruah dan berjiwa besar.










