PETALING JAYA – Kontrak yang tidak memihak atau tidak memberi manfaat kepada Malaysia akan dikaji semula, kata Menteri Kewangan yang baru dilantik Lim Guan Eng.
Guan Eng berkata, tumpuan utama beliau adalah membantu rakyat Malaysia dan memastikan hak mereka, peluang pekerjaan dan perniagaan dilindungi.
“Itu akan menjadi pertimbangan utama. Tumpuan masih kepada membantu mereka yang mendapati amat sukar untuk menyara hidup dan bagaimana untuk menjadikan kehidupan mereka lebih mudah,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Pakatan Harapan (PH) di Menara Yayasan Selangor di sini hari ini.
Guan Eng berkata, beliau akan melihat dari segi memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), mengekalkan pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), dan (subsidi) harga minyak.
Mengenai pelantikan beliau sebagai bangsa Cina yang pertama menerajui Kementerian Kewangan selepas 44 tahun, Lim berkata: “Saya tidak menganggap diri saya sebagai bangsa Cina, sebaliknya sebagai seorang rakyat Malaysia. Saya tidak tahu sudah 44 tahun, terima kasih kerana mengira untuk saya.” – Bernama










