BATU PAHAT 12 Mei – Keselamatan dan ketenteraman di negeri ini sepanjang hari mengundi, Rabu lalu berada dalam keadaan terkawal dan baik biarpun terdapat dua kes direkodkan.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd., berkata, kekecohan di beberapa tempat termasuk daerah ini pula tidak melibatkan apa-apa kesalahan jenayah tetapi hanya salah faham.
Menurutnya, kes pertama direkodkan tersebut adalah kesalahan merusuh melibatkan dua lelaki yang dipukul kerana disangkakan warga asing yang mahu mengundi di Johor Bahru.
“Kejadian kedua pula melibatkan kes pecah cermin kereta juga di Johor Bahru. Polis menahan 13 individu bagi kedua-dua kes itu untuk membantu siasatan.
“Secara asasnya saya boleh menyatakan keadaan ketenteraman dan keselamatan di Johor ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) baik dan terima kasih kepada masyarakat kerana bekerjasama dengan polis,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Gotong-Royong Serentak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor Bersama ‘Brader Motor’ di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din, Pegawai Daerah Batu Pahat, Mohd. Haffiz Ahmad dan Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa. -UTUSAN ONLINE










