KUALA LUMPUR 12 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan yang pihaknya memasang kawat duri untuk menyita pejabat Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali di Persiaran Perdana, Precint 4 di sini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan berkata, kawat duri itu sebenarnya dipasang di beberapa kawasan termasuk pejabat Peguam Negara untuk menjaga keselamatan sepanjang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) berlangsung.
“Kawat duri itu telah dipasang ketika hari penamaan calon dan pengiraan undi.
“Tujuannya adalah bagi memisahkan parti-parti bertanding dalam jarak 50 meter dan telah dibuka selepas pengiraan undi tamat, ” katanya di sini semalam.
Ujar Rosly, kawat duri itu dipasang semula pada hari pelantikan Perdana Menteri yang baharu dan telah dibuka semalam.
“Ini adalah persiapan biasa untuk menjamin keselamatan beberapa kawasan sehingga kerajaan baharu dibentuk,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE










