KAJANG – Sekumpulan lelaki melarikan barangan kemas bernilai RM2 juta dalam tempoh kurang dua minit di sebuah kedai emas dalam pasar raya Tesco di Jalan Persiaran Saujana Impian di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 1.36 petang itu, lima lelaki yang bersenjatakan pistol, parang serta tukul dikatakan memasuki kedai emas tersebut sebelum melarikan 10 dulang barang kemas.
Antara barangan kemas yang dilarikan termasuk gelang dan rantai emas.
Difahamkan premis itu pernah dirompak empat lelaki bersenjatakan objek menyerupai sepucuk pistol dan tukul besi pada Oktober tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, kesemua suspek memakai jaket, sarung tangan serta topi keledar bertutup penuh sebelum memasuki premis yang tiada pelanggan ketika itu.










