Durian bukan ‘raja buah’ tahun ini - Utusan Malaysia

Durian bukan ‘raja buah’ tahun ini

FAMA membantu pemasaran buah durian yang kini berlaku lambakan akibat buah luruh serentak dan kilang pemprosesan durian tidak dapat beroperasi penuh kerana PKP..
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Populariti durian yang gah sebagai raja segala buah tahun ini nampaknya mulai ‘dicabar’ oleh buah-buahan lain termasuk mangga harumanis, rambutan dan dokong.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjelaskan, permintaan durian bukan sahaja jatuh dari segi nilai jualan keseluruhan, malah kuantiti di pasaran tempatan.

“Penurunan dipengaruhi perubahan cuaca tidak menentu, pengeluaran buah tidak konsisten dan sentimen harga yang tinggi di pasaran,” jelas agensi itu di sini semalam.

Tiga faktor itu jelas FAMA, menjadi cabaran bagi memperoleh bekalan berterusan di samping perlu meminimumkan kos belian yang semakin meningkat.

FAMA menambah, meskipun pandemik Covid-19 muncul, aktiviti pembelian di peringkat ladang masih berlaku berikutan permintaan tinggi terutama perniagaan jualan secara dalam talian.

Berdasarkan data untuk tahun ini sehingga Oktober lalu, penjualan durian kampung diuruskan agensi itu merekodkan kejatuhan terbesar dengan nilai keseluruhannya RM82,682.

Sebanyak 8,401 kilogram durian jenis tersebut dijual oleh FAMA di seluruh negara berbanding 72,419 kilogram dengan nilai pasaran RM469,603 sepanjang tahun lepas.

Durian kampung pernah meraih rekod tertinggi pada 2018 iaitu 182,595 kilogram dengan nilai RM974,220, melonjak tinggi daripada 2017 iaitu hanya 19,472 kilogram dengan RM248,284.

Turut menerima nasib yang sama ialah durian klon apabila setakat Oktober lepas, cuma 8,974 kilogram dengan nilai pasaran RM191,374 dijual oleh pihak FAMA.

Padahal sepanjang tahun lalu, sebanyak 48,712 kilogram dengan nilai RM635,805 dicatatkan manakala pada 2018, durian itu pernah pecah rekod sebanyak 94,212 kilogram dengan nilai RM906,452.

Sementara itu pada 2017, meskipun durian klon hanya dijual sebanyak 34,574 kilogram, nilainya mencecah RM872,182 berikutan harga yang amat tinggi di pasaran seluruh negara ketika itu.

Impak wabak Covid-19 turut mempengaruhi penjualan durian gred premium, Musang King yang dikendalikan FAMA sepanjang tahun ini.

Data terkini agensi itu menunjukkan cuma 3,856 kilogram dengan nilai pasaran RM182,848, berbanding penjualan tahun lepas merekodkan 9,182 kilogram dengan nilai RM326,215.

Musang King pernah mencetuskan fenomena permintaan dalam kalangan rakyat Malaysia pada 2017 apabila FAMA sendiri mampu menjual 17,481 kilogram dengan nilai RM1,071,459.

Setahun kemudian, harganya jatuh ekoran lambakan pengeluaran menyaksikan walaupun sebanyak 17,846 kilogram dijual FAMA, nilainya pula menurun kepada RM681,012. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×