BN, UMNO perlu berubah untuk kembali berkuasa - Utusan Malaysia

BN, UMNO perlu berubah untuk kembali berkuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH hampir 61 tahun memegang tampuk pemerintahan kerajaan, Barisan Nasional (BN) terpaksa akur dengan kekalahan mengejut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu.

Pilihan raya tersebut menyaksikan rakyat menyerahkan mandat kepada gabungan parti di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), DAP dan Parti Amanah Negara.

Pada PRU-14, BN sekadar memenangi 79 kerusi daripada keseluruhan 222 Parlimen. Jumlah itu tidak cukup untuk membentuk sebuah kerajaan dengan majoriti mudah iaitu 112 kerusi.

Gabungan PH memperoleh 113 kerusi manakala Parti Warisan Sabah (Warisan) yang turut membuat pakatan dengan PH di Negeri Di Bawah Bayu memenangi lapan kerusi Parlimen. Pas menang 18 kerusi, Bebas (tiga) dan Star (satu).

Walaupun tewas pada pertandingan peringkat Parlimen, BN masih kekal memerintah Perlis dan Pahang apabila berjaya mendapat majoriti mudah di Dewan undangan Negeri (DUN).

Beberapa negeri yang sebelum ini menjadi kubu kuat BN juga menyaksikan kekalahan iaitu Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Terengganu.

Bagaimanapun, kekalahan BN secara keseluruhan dalam PRU-14 bukan bermakna keseluruhan rakyat menolak kepimpinan mereka. Buktinya jelas apabila BN memenangi 79 kerusi Parlimen dan 178 DUN.

Peralihan

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Dr. Ummu Atiyah Ahmad Zakuan berkata, tidak mustahil untuk BN kembali memerintah negara pada masa akan datang sekiranya kerajaan yang baharu dibentuk selepa PRU-14 gagal menunaikan aspirasi rakyat.

Beliau berkata, peralihan kuasa yang berlaku kali pertama dalam sejarah negara pada peringkat Persekutuan membuktikan rakyat matang dalam membuat pilihan dan berani melakukannya lagi pada masa akan datang.

“Peralihan kerajaan yang berlaku di Malaysia ketika ini mungkin satu perkara baharu buat rakyat. Tetapi di negara-negara maju, ia merupakan perkara biasa dalam memilih pemimpin dan itu bukti kematangan.

“Justeru, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempunyai tanggungjawab besar untuk menunaikan apa yang dimahukan oleh rakyat,” katanya.

Menurut Ummu Atiyah, kegagalan kerajaan yang baru dibentuk selepas PRU-14 ini melaksanakan urus tadbir yang diingini rakyat boleh menyebabkan rakyat kembali memberi sokongan kepada BN.

“Ketika ini rakyat begitu dahagakan perubahan. Sebab itu, mereka berani melakukan perubahan dalam kerajaan melalui PRU. Dalam tempoh lima tahun ini pengundi akan melihat dan menilai.

“Jika tiada perubahan yang dilakukan oleh kerajaan PH, sudah pasti rakyat berani membuat perubahan sekali lagi. Jadi, tidak mustahil mereka akan kembali menyokong BN atau blok lain dalam politik Malaysia.

“Sejarah telah membuktikan peralihan kuasa telah berlaku di Malaysia. Di Kelantan pada 1990 Pas merampas pentadbiran daripada BN. Begitu juga di Terengganu dan Kedah, kedua-dua negeri ini menyaksikan kerap berlaku pertukaran kerajaan antara BN dan Pas,” ujarnya.

Jelas Ummu Atiyah lagi, BN dan UMNO selepas tewas pada PRU-14 tidak boleh terus meratapi kekalahan mereka sekiranya ingin kembali memerintah negara pada PRU akan datang.

“BN perlu berubah kerana rakyat sudah menyatakan hasrat dan keperluan mereka dengan jelas. Apa yang dimahukan rakyat bukanlah sukar untuk ditunaikan seperti harga barang yang stabil, lebih banyak peluang pekerjaan dan urus tadbir lebih efisien.

“Apa yang perlu dilakukan oleh BN adalah dengan menjadi pembangkang yang bijak. Negeri-negeri yang ditadbir mereka juga perlu menunjukkan usaha dan komitmen untuk membantu rakyat dengan ikhlas,” ujarnya.

Komitmen

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, agak sukar untuk BN terutamanya UMNO untuk memenangi hati rakyat semula selepas kekalahan teruk pada PRU-14.

Beliau berkata, walaupun rombakan dalam kepimpinan UMNO dilakukan, perkara itu sebenarnya telah terlambat kerana parti itu sepatutnya berbuat demikian sejak dua tahun lalu.

“Ambil saja contoh di Selangor, selepas tewas pada PRU 2008, BN dan UMNO tidak berjaya memenangi semula negeri itu walaupun bermacam-macam usaha dan fokus ditumpukan di situ.

“Sepatutnya rombakan perlu dilakukan ketika Tun Dr. Mahathir masih lagi ahli UMNO.

“Ketika itu, beliau dan beberapa pemimpin UMNO telah bersuara tetapi Majlis Tertinggi dan Ketua Bahagian tetap memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak (Presiden),” katanya.

Tambah Awang, jika rombakan hendak dilakukan, ia perlu dilakukan secara besar-besaran melibatkan semua kepimpinan Majlis Tertinggi dan Ketua Bahagian dengan digantikan muka baharu yang boleh menjaga kepentingan rakyat marhain.

“Muka-muka lama perlu digantikan dengan yang baharu. Orang lama hanya bertindak sebagai mentor sahaja dan tidak boleh masuk campur urusan parti.

“Saya sebutkan UMNO kerana ia merupakan parti yang menjadi tunjang kepada BN,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×