MELAKA 11 Mei – Barisan Nasional (BN) Melaka bersedia menjadi pembangkang yang baik dalam usaha memastikan pembangunan dan kemajuan di Melaka dapat diteruskan.
![]() |
|
IDRIS HARON
|
Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Idris Haron (gambar) berkata, beliau bersama 12 lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu akan terus bekerja untuk kepentingan rakyat di kawasan masing-masing.
“BN akan memberikan pandangan-pandangan yang positif dan membina bagi meneruskan kemajuan di negeri ini. Kita akan jadi pembangkang yang terbaik,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis Angkat Sumpah Pelantikan Ketua Menteri Melaka Ke-11 di Dewan Seri Utama Pejabat Rasmi Yang Dipertua Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Idris yang juga ADUN Sungai Udang gagal mempertahankan jawatan Ketua Menteri yang disandangnya pada 7 Mei 2013 apabila BN Melaka hanya memenangi 13 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-14.











