KUALA LUMPUR 11 Mei – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menyatakan kesediaan memberi pengampunan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pemimpin tertinggi Pakatan Harapan menghadap Seri Paduka semalam.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, usaha tersebut terlebih dahulu perlu melalui pelbagai proses perundangan.
Pada masa sama katanya, usaha membawa masuk Anwar menyertai Kabinet akan mengambil masa yang panjang terutama bagi menjadikan beliau seorang ahli Parlimen.
“Seri Paduka menyatakan kesediaan untuk mengampunkan Anwar serta-merta dan kita akan memulakan proses selanjutnya bagi mendapatkan pengampunan tersebut.
“Ini akan menjadi pengampunan penuh, bermaksud bukan sahaja diampunkan, malah dibebaskan serta-merta dan selepas itu boleh terlibat dalam politik,” katanya selepas mengadakan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini hari ini.
Kata Dr. Mahathir lagi, sama ada Anwar akan menyertai Kabinet atau tidak juga akan diputuskan kemudian selepas selesai proses pengampunan tersebut.
Pada awal tahun ini, Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengeluarkan kenyataan bahawa suaminya akan dibebaskan pada 11 Jun ini.
Anwar mula menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 atas sabitan meliwat, tetapi dijangka dibebaskan lebih awal atas dasar berkelakuan baik.










