MARANG – Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar memohon semua pihak agar menegur membantu dan membimbingnya serta barisan exco kerajaan negeri yang baharu, sekiranya tersilap dalam melaksanakan amanah memimpin negeri.
Beliau berkata, kemenangan PAS di Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini hanyalah langkah pertama dalam pergerakan parti itu manakala langkah yang lebih besar adalah bagaimana untuk mengisi kemenangan tersebut sesuai dengan amanah dan perintah Allah serta Nabi Muhammad SAW.
“Matlamat kita, untuk bertemu dengan Allah dalam keadaan kita redha kepada Allah dan begitulah Allah redha dengan kita. Saya sendiri datang sebagai orang kampung, tidak pernah terfikir akan diberi amanah tersangat berat ini.
“Saya pernah menjadi setiausaha cawangan parti di negeri yang Pas tidak kuat, sebab itulah bimbingan dan panduan daripada semua sangat-sangat diperlukan,” katanya dalam ucapan sulungnya selepas Kuliah Dhuha Masjid Rusila di sini hari ini.
Beliau telah mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Terengganu yang baharu malam tadi. – Bernama










