BANYAK yang hendak dan boleh diperkatakan tentang tsunami rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelmarin.
Keputusannya juga semua sudah sedia maklum. Dalam konteks negeri, Barisan Nasional (BN) Selangor bukan sahaja gagal tetapi rebah tersungkur ditendang pengundi.
Ternyata dalam politik apa saja boleh berlaku. Di negeri ini, Pakatan Harapan hampir menyapu bersih kesemua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Hanya dua daripada 22 Parlimen tinggal untuk BN, dan cuma empat kerusi DUN Selangor ‘sangkut’ pada BN kelmarin.
Enam kerusi BN itu hanya meliputi Parlimen Sabak Bernam dan Tanjong Karang selain DUN Sungai Air Tawar; Sungai Panjang; Hulu Bernam dan Sungai Burong. Selebihnya semua hanyut disapu dalam gelombang yang mengejutkan BN.
Persoalannya tidakkah BN negeri mahu pun pusat menyedari bibit-bibit gelombang ini? Sedangkan isyarat itu dihantar lebih awal. Mana mungkin sebuah gelombang sebegitu besar tidak disedari, kecualilah ada pihak sengaja tidak ambil kisah, ketika ia masih bersifat arus.
Dalam konteks Selangor, benar BN di bawah kepimpinan Tan Sri Noh Omar kuat bekerja dan komited untuk menang. BN tiada isu perpecahan dan tampil ‘solid’ tetapi mengapa ia dihukum sebegitu rupa? Tentulah sekali ada sesuatu yang perlu direnung antaranya sifat terlebih yakin.
Sifat terlebih yakin itu dilihat menjadi pendorong utama kepada BN Selangor dan juga pusat untuk mengabaikan arus yang menjadi bibit-bibit awal kepada gelombang tsunami.










