KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyaksikan Barisan Nasional (BN) Pahang mengekalkan rekod kemenangan dan statusnya sebagai satu-satunya negeri di Pantai Timur yang gagal ditawan oleh pembangkang.
Meskipun corak pilihan raya umum kali ini berbeza apabila sebanyak 55 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dipertandingkan berlaku pertembungan antara tiga hingga lima penjuru, Pahang masih kekal ditadbir BN.
Pada saat beberapa negeri menyaksikan pertukaran kuasa pentadbiran, BN Pahang masih kekal bertahan apabila kembali membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah selepas memenangi 25 daripada 42 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Sebagai rekod, parti politik yang bertanding memerlukan 22 kerusi di peringkat DUN bagi membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah dan sekurang-kurangnya 28 kerusi untuk memperoleh majoriti dua pertiga.
BN Pahang kembali meraih mandat rakyat selepas mempertahankan kerusi DUN Kuala Sentul, Muadzam Shah, Jenderak, Kerdau, Jelai, Tioman, Bukit Ibam, Lepar, Sungai Lembing, Lanchang, Inderapura, Pulau Tawar, Guai, Kemayan, Padang Tengku, Cheka, Benta, Pulau Manis, Bebar, Chini, Peramu Jaya, Dong, Benta dan Batu Talam.
Parti itu turut merampas kerusi DUN Kuala Semantan, namun kehilangan kerusi Luit, Chenor, Jengka, Panching, Tahan dan Damak.
Walaupun memperoleh majoriti mudah, kerajaan negeri yang kembali dibentuk itu masih stabil apabila Pakatan Harapan hanya memenangi sembilan kerusi manakala Pas lapan kerusi.
Jadi, selain faktor Pahang adalah ‘negeri Perdana Menteri’, apakah formula digunakan BN Pahang yang diterajui Datuk Seri Adnan Yaakob untuk terus kekal mentadbir?
Sehari sebelum hari pengundian, Adnan yang mengetuai jentera pilihan raya umum BN peringkat negeri buat kali kelima menyatakan keyakinan bahawa parti berkenaan akan terus diberikan mandat oleh rakyat.
Keyakinannya itu bersandarkan khidmat terbaik yang diberikan oleh kepemimpinan atasan sehingga ahli biasa BN yang sering bertemu rakyat di peringkat bawahan sejak sekian lama. Mereka juga tidak pernah bersikap sombong dan sentiasa rapat ke akar umbi.
Keadaan ini membolehkan proses penerangan jentera BN diadakan dengan lebih mudah dan berfokus dalam memastikan mereka memahami aspirasi perjuangan BN.
Perkara-perkara yang rakyat tidak berpuas hati juga sedaya upaya diselesaikan BN Pahang sama ada cepat atau perlu mengambil masa.
Sebab itu beliau melihat tiada alasan rakyat tidak menyokong BN. Tradisi itu digabungkan pula dengan gerak kerja BN Pahang sama ada di peringkat kepemimpinan atau jenteranya yang bermula dari awal.
Momentum tersebut berterusan sepanjang tempoh berkempen PRU-14 dengan semua parti komponennya bergerak seiring selepas menyelesaikan isu-isu berbangkit termasuk semasa penamaan calon.
Akhirnya, pendekatan berkenaan nyata berkesan apabila dilihat menjadi antara pendorong yang kuat untuk majoriti rakyat Pahang yang mempunyai 115 kawasan Felda terus setia bersama BN.










