Soal parti mana yang akan mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah pun terjawab.
Lebih 14 juta rakyat yang mengundi pada PRU-14 telah memberi mandat kepada Pakatan Harapan sebagai kerajaan bertanggungjawab mentadbir negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
Seperti biasa selepas selesai pilihan raya dan pembentukan kerajaan, perkara yang ditunggu-tunggu oleh rakyat ialah pelaksanaan segala janji sebagaimana terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan PRU-14.
Dalam konteks ini, Pakatan Harapan telah menjanjikan beberapa perkara yang bakal dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pentadbiran dan juga sepanjang lima tahun akan datang.
Antara yang mencuri tumpuan ialah penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang telah menjana sebanyak RM42 bilion pendapatan kepada negara dan digantikan semula dengan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Pakatan Harapan juga sama ada menerusi manifesto ataupun ucapan-ucapan kepemimpinan mereka telah berjanji untuk menghapuskan tol secara berperingkat-peringkat.
Selain itu, mereka turut berjanji memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar, menawarkan pendidikan percuma di universiti awam dan pelaksanaan gaji minimum RM1,500.
Sudah tentunya janji-janji ini menimbulkan ‘keterujaan’ kepada rakyat dan mungkin menjadi penyebab mengapa Pakatan Harapan diberikan mandat.
Perkara itu diakui oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berpandangan segala usaha kerajaan sebelum ini mungkin kurang ‘daya tarikan’ berbanding apa ditawarkan oleh pakatan tersebut.
Namun, lebih penting, Najib menegaskan bahawa sudah tiba masanya Pakatan Harapan menunaikan segala janji yang telah mereka taburkan kepada rakyat.
“Sekarang ini rakyat menunggu janji-janji itu dilaksanakan seperti terkandung dalam manifesto mereka dan dalam ucapan-ucapan mereka,” kata beliau.
Sudah tentu sangat besar harapan rakyat yang telah memilih Pakatan Harapan untuk melihat pakatan itu benar-benar melaksanakan segala janji tersebut yang sering dicanang-canang mereka sepanjang kempen PRU-14.










