KEMENANGAN Pakatan Harapan dengan mandat lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelmarin bermakna kerajaan negeri Pulau Pinang kelak juga memikul amanat lebih besar kepada rakyat.
Selain janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan yang pastinya akan ditagih rakyat untuk dilaksanakan, beberapa isu berbangkit di negeri ini juga perlu diselesaikan segera.
Antaranya masalah banjir kilat yang terus menghantui penduduk setiap kali hujan lebat.
Dalam beberapa kejadian banjir itu sebelum ini, penduduk bukan sahaja mengalami kerugian harta benda, malah ada nyawa yang menjadi korban.
Jika sebelum ini kerajaan negeri Pulau Pinang sering menyalahkan kerajaan Pusat kerana tidak menyediakan peruntukan bagi mengatasi banjir seperti projek tebatan sungai, namun kini alasan itu tidak terpakai lagi.
Dengan kerajaan negeri pada masa depan sudah sealiran dengan Putrajaya, maka kerja-kerja tebatan banjir di beberapa kawasan sungai negeri itu boleh dilakukan segera.
Isu lain yang memerlukan perhatian dan tindakan bijak kerajaan negeri juga adalah berhubung ancaman terhadap kerosakan alam sekitar.
Suara-suara bantahan penduduk terhadap projek di lereng bukit, cadangan tambak laut dan pembangunan Pulau Jerejak yang sepatutnya dijadikan kawasan hutan simpan tidak wajar diketepikan hanya kerana kini menjadi kerajaan negeri yang lebih kuat.
Begitu juga dengan keluhan penduduk yang sehingga kini masih mengharapkan untuk memiliki rumah mampu milik dan kos rendah dan sederhana rendah.
Jika sebelum ini terdapat rungutan berkenaan tindakan kerajaan negeri yang melengah-lengahkan permohonan kelulusan agensi kerajaan Pusat untuk membina rumah mampu milik, perkara itu pada masa depan sudah semestinya tidak lagi relevan.
Penduduk Pulau Pinang kini sudah pun menyatakan pilihan mereka dengan jelas serta sokongan besar kepada Pakatan Harapan dengan kemenangan 11 Parlimen dan 37 Dewan Undangan Negerui (DUN).
Sudah semestinya, harapan mereka juga menggunung kepada Pakatan Harapan untuk melihat Pulau Pinang ditadbir menjadi negeri lebih maju berorientasikan kebajikan rakyat pada masa depan.










