KUALA LUMPUR 10 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) memperlihatkan pertembungan begitu sengit tetapi ia merupakan satu manifestasi amalan prinsip demokrasi yang dianuti.
Namun, Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, banyak perkara-perkara yang telah digunakan dan dijadikan senjata dalam PRU-14 termasuklah fitnah dan hasutan yang dilemparkan kepada BN.
Kata beliau, antara fitnah itu ialah kononnya BN akan melakukan penipuan untuk memenangi PRU-14 termasuk beliau akan memanggil mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengisytiharkan darurat.
“Tetapi jelas sekali bahawa dengan keputusan PRU ini tidak ada sebarang penipuan dilakukan BN dan dakwaan saya dan rakan-rakan telah merancang mengadakan mesyuarat MKN pada pukul 10 malam tadi untuk isytihar darurat adalah contoh hasutan dan pembohongan kepada rakyat di mana tidak ada panggilan mesyuarat sama sekali,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Najib pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin BN peringkat nasional dan akar umbi yang telah bekerja siang dan malam membuat segala program untuk PRU-14.
Sementara itu, suasana hiba menyelubungi Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini Najib menyampaikan amanat terakhir selepas parti itu kalah dalam PRU-14 semalam.
Najib bercakap di hadapan kira-kira 200 pengamal media dan ahli parti yang datang memberi sokongan.
Turut menemani Najib adalah kepemimpinan kanan parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Semalam, gabungan PKR mengumumkan telah membentuk kerajaan setelah menang lebih 121 kerusi Parlimen dalam PRU-14. – UTUSAN ONLINE










