MELAKA 10 Mei – Ketua Menteri Melaka yang baharu dijangka mengangkat sumpah jawatan selewat-lewatnya esok, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari.
Pengerusi Amanah Melaka itu berkata pada masa ini, PH Melaka masih mengadakan perbincangan bersama rakan-rakan dalam parti komponennya untuk jawatan tersebut.
“Setiap parti (dalam PH) akan kemukakan calon dan kita akan muktamadkan (calon Ketua Menteri Melaka) dalam masa terdekat, harap hari ini kita buat keputusan.
“Pembahagian exco akan dibincangkan nanti,” kata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil itu pada sidang media di Graha AMANAH Melaka di Bukit Katil di sini hari ini.
Turut hadir Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga Anggota Parlimen Hang Tuah Jaya dan Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM Mohd Rafiq Naizamohideen merangkap ADUN Paya Rumput. – BERNAMA










